Tiada bayaran terhadap kos berkaitan moratorium: MBSB Bank
KUALA LUMPUR - MBSB Bank telah mengumumkan ia tidak akan mengenakan sebarang kos yang berkaitan dengan moratorium automatik kerana kesan buruk akibat wabak koronavirus (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada pengguna di Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, bank itu memahami bahawa rakyat Malaysia kini bimbang mengenai kesihatan, pendapatan yang berkurangan dan ketidaktentuan yang berlanjutan.
Setelah moratorium selama enam bulan, MBSB Bank akan melanjutkan tempoh pembiayaan dengan enam bulan lagi.
"Kecuali untuk akaun pembiayaan automatik, pelanggan tidak perlu memberikan persetujuan untuk lanjutan itu kerana harga jualan komoditi yang digunakan di bawah konsep Islam Tawarruq tidak berubah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zaini berkata, pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kini menikmati pembiayaan sewa perindustrian berdasarkan pembiayaan dengan kadar tetap juga akan mendapat keuntungan daripada langkah ini.
"Pelanggan juga dapat melanjutkan pembayaran bulanan yang sama setelah tamat moratorium. Hanya mereka yang ingin memilih keluar dari moratorium itu perlu menghubungi MBSB Bank pada akhir bulan Julai," katanya.
Beliau berkata, MBSB Bank mempunyai kekuatan modal untuk menampung kerugian pengubahsuaian itu sepenuhnya.
Sementara itu, MBSB Bank juga telah meningkatkan tawaran PKS melalui Program Khas Cashline-i yang baharu, ia bertujuan untuk membantu PKS mengekalkan perniagaan mereka dengan dana yang diperuntukkan sebanyak RM1 bilion. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!