Mana protes kekejaman polis Israel?
KEMATIAN tragis seorang lelaki kulit hitam di Minneapolis, Amerika Syarikat (AS) di tangan pegawai polis kulit putih mencetuskan gelombang protes antipolis di seluruh negara Uncle Sam itu.
Malah, tunjuk perasaan membantah pembunuhan George Floyd turut diadakan di luar AS termasuk di Australia, United Kingdom dan Jerman serta beberapa negara Barat lain.
Ahli sukan dan selebriti terkemuka turut berlumba-lumba menzahirkan solidariti mereka terhadap bapa dua anak itu dan masyarakat kulit hitam di AS amnya.
Ramai menyifatkan kematian Floyd sebagai bukti penindasan perkauman masih berleluasa di AS.
Bantahan berleluasa dan adakalanya bertukar ganas di beberapa lokasi benar-benar mencalarkan imej dan reputasi AS sebagai jaguh hak asasi manusia dunia.
Sehingga artikel ini ditulis, tunjuk perasaan di seluruh AS dilaporkan masih belum reda.
Tanda pagar #JusticeForGeorgeFloyd dan #BlackLivesMatter kini trending di Twitter dengan berjuta-juta ciapan dimuat naik berkaitan tragedi tersebut.
Semuanya mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan Derek Chauvin pegawai Jabatan Polis Minnesota yang menyebabkan Floyd terbunuh.
Media AS dan Barat pula melabelkan pembunuhan Floyd sebagai 'kematian yang menggoncang dunia'.
Namun, beberapa hari selepas pembunuhan Floyd, dunia dikejutkan pula dengan pembunuhan seorang lelaki kurang upaya (OKU) Palestin yang mati selepas ditembak polis Israel.
Kejadian membabitkan Iyad Khairi Hallaq berlaku pada Sabtu lalu di Baitulmaqdis.
Jika leher Floyd ditindih menggunakan lutut sehingga membawa kepada kematiannya, insiden menimpa Hallaq berkali-kali ganda lebih tragis.
Namun, dunia lebih berminat membincangkan kematian Floyd berbanding Hallaq.
Pembunuhan itu juga tidak dianggap sebagai satu bentuk penindasan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.
Tiada ahli sukan ternama mengangkat kisah Iyad, malah selebriti terkemuka seperti Justin Bieber dan Ellen DeGeneres yang memiliki jutaan pengikut di laman sosial seperti tidak menyedari insiden yang menimpa pemuda berusia 32 tahun itu.
Hallaq yang menghidap autism ditembak mati oleh polis Israel di timur Baitulmaqdis berhampiran Lions Gate di Masjid Al-Aqsa iaitu titik akses yang sering digunakan oleh rakyat Palestin.
Pembunuhan itu secara terang-terangan melanggar hak asasi manusia, subjek yang boleh menimbulkan kemarahan Washington lebih-lebih lagi jika ia berlaku di luar AS.
AS sebelum ini naik angin dan berulang kali mengecam China selepas polis Hong Kong menggunakan kekerasan termasuk menggunakan peluru getah bagi menyuraikan penunjuk perasaan prodemokrasi.
Namun, sehingga kini Presiden Donald Trump yang kononnya kesal dengan kematian Floyd tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengutuk kekejaman polis Israel terhadap Iyad.
Sehari selepas kejadian, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz mengeluarkan kenyataan maaf yang diragui.
Beliau turut berjanji untuk menyiasat insiden itu.
Pada hari sama, Penyelaras Khas Proses Damai Asia Barat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nickolay Mladenov sekadar mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan insiden menimpa lelaki berusia 32 tahun itu dapat dihindari.
Dalam kejadian Sabtu lalu, Hallaq ditembak selepas polis Israel menyangka dia membawa sepucuk pistol.
Susulan itu, Presiden Palestin, Mahmud Abbas berkata, pembunuhan itu satu bentuk jenayah perang.
Abbas turut mendesak supaya Israel diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Setakat ini, tunjuk perasaan secara aman menuntut bela kematian Hallaq hanya berlaku di Palestin dan sebahagian kecil wilayah yang diduduki.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!