Balu pekerja TV3 terima bayaran faedah Perkeso
SUNGAI BULOH - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan pencen penakat kepada balu pekerja Jabatan Teknologi Maklumat di Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Allahyarham Mohamed Shamry Saiful Bahri di rumahnya di sini kelmarin.
Perkeso menerusi siaran media memaklumkan Skuad Perkeso Prihatin segera mengambil langkah proaktif dengan membuat semakan caruman dan mendapati Allahyarham layak menerima FPM dan pencen penakat.
Menurut Perkeso, faedah itu disampaikan oleh Timbalan Pengarah Perkeso Negeri Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan kepada balu Allahyarham, Sharanizawati Shaari, 38.
“Pencen penakat adalah satu faedah dalam Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans Perkeso meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
“Antara syarat pencen penakat adalah meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman,” kata kenyataan itu di sini semalam.
Allahyarham, 39, meninggal dunia pada 20 Mei lalu, empat hari sebelum Aidilfitri akibat komplikasi pendarahan otak.
Allahyarham Mohamed Shamry meninggalkan seorang balu dan tiga anak itu pernah berkhidmat selama 16 tahun bersama TV3.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!