Lelaki terima piza misteri sejak 9 tahun
ANTWERP - Seorang lelaki di Belgium menerima piza selama sembilan tahun daripada pengirim misteri.
Jean Van Landegam, 65, yang tidak pernah menempah makanan tersebut terkejut setiap kali penghantar piza datang ke rumahnya, lapor Daily Star.
Katanya, penghantaran piza itu dari pelbagai restoran makan segera berhampiran rumahnya.
Pada Januari 2019, 10 lelaki berbeza telah menghantar piza di rumahnya hingga menimbulkan persoalan selain merasai dirinya menjadi bahan 'prank'.
"Saya tidak dapat tidur lena, saya jadi gementar setiap kali mendengar skuter di jalan raya.
"Saya hidup dalam ketakutan kerana diganggu, malah saya pernah menerima penghantaran jam 2 pagi," katanya.
Menurutnya, setiap kali penghantaran piza, dia terpaksa menolak bagi mengelakkan dikenakan sebarang caj.
Jean percaya tindakan tersebut mungkin dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab yang mengenalinya.
"Saya juga telah membuat laporan polis, namun mereka tidak boleh membantu," ujarnya.
Dalam pada itu, Jean berkata, perkara tersebut juga berlaku pada rakannya yang tinggal di kota Flanders.
"Kami pernah menerima piza pada hari yang sama dan berharap suatu hari nanti akan dapat mengesan si pelaku yang membuatkan hidup kami tidak tenteram," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!