Kakitangan UUM manfaat kemahiran cipta pemijak cecair pembasmi kuman
SINTOK - Seorang pembantu operasi di Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) memanfaatkan kemahiran dalam bidang pertukangan untuk menghasilkan alat pemijak cecair pembasmi kuman (Step Sanitizer Dispenser).
Mohamad Nizam Mansor, 42, berkata, idea berkenaan timbul selepas rakan-rakan sekerja memberi cadangan agar beliau menghasilkan alat terbabit untuk memudahkan penggunaannya di pejabat.
Katanya, beliau menyambut baik cadangan berkenaan dan mula merangka bentuk alat terbabit menggunakan paip Polyvinyl Chloride (PVC) agar mudah digunakan dan lebih mesra pengguna.
"Bagi menyiapkan seunit alat ini saya mengambil masa kira-kira 30 minit dengan dibantu oleh dua orang rakan sekerja di CUIC. Kos yang diperlukan juga sangat berpatutan iaitu kira-kira RM50 sahaja seunit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, di saat negara sedang berdepan ancaman koronavirus (Covid-19), alat tersebut membantu mengurangkan penularan wabak yang mungkin merebak menerusi sentuhan di botol cecair pembasmi kuman.
“Dengan adanya alat pemijak ini, kita tidak perlu menyentuh permukaan botol untuk pam keluar cecair pembasmi kuman berkenaan," katanya.
Mohamad Nizam yang juga berasal dari Padang Sera, Kubang Pasu berkata, dia sangat berpuas hati kerana dapat menyumbangkan sesuatu kepada UUM terutamanya ketika negara sedang melawan Covid-19.
“Setidaknya saya dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat melalui kemahiran yang saya miliki," katanya yang juga seorang tukang paip sambilan sejak dua tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Bahagian Jaringan Masyarakat CUIC, Suwannit Chareen Chit Sop Chit berkata, penghasilan produk itu adalah salah satu agenda inovasi sosial dengan menghasilkan bahan yang boleh memanfaatkan semua orang.
Menurutnya, CUIC akan mempromosikan alat pemijak itu ke semua pusat tanggungjawab (PTJ) dalam UUM, selain pejabat-pejabat kesihatan dan juga sekolah yang sering berdepan dengan orang ramai.
Katanya, untuk penambahbaikan pada masa hadapan, mereka akan menggunakan bahan yang lebih kuat dengan kos yang rendah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!