Salahuddin nafi sertai Bersatu, PN

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub nafi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti disiarkan sebuah portal dan tular dalam media sosial sejak semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram berkata, perkara tersebut adalah fitnah dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mengeluarkan laporan palsu berkenaan.

"Ternyata pihak 'cytro' Perikatan Nasional (PN) sangat tertekan dengan perkembangan terkini politik tanah air sehingga terdesak menyebarkan berita palsu kononnya saya dan beberapa pimpinan Amanah akan menyertai Bersatu.

"Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan laporan palsu tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam sebuah portal menyiarkan tiga ahli Parlimen Amanah iaitu Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai, Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), dan Dr. Hasan Baharom (Tampin) akan menyertai Bersatu dalam masa terdekat.

Menurut laporan berkenaan, keputusan itu bagi mengukuhkan lagi kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam, Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Salleh meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya kerana merasa bersalah terhadap pengundi yang memilihnya sebagai wakil rakyat atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Sinar Harian difahamkan, Shahruddin yang juga bekas Setiausaha Agong Bersatu merupakan salah seorang daripada wakil rakyat parti tersebut yang dikhabarkan membuat pusingan U menyokong semula PH dan gerakan terkini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Salahuddin seterusnya menyifatkan laporan itu sebagai fitnah murahan malah tidak akan sedikit pun menjejaskan usaha dan komitmen PH untuk mengembalikan mandat rakyat dan menyelamatkan negara dari bencana politik PN.

"Saya mengharapkan rakyat Malaysia dapat bersama PH mendukung dan meneruskan cita-cita membentuk Malaysia Baharu yang bebas rasuah dan penyelewengan serta menegakkan amalan politik yang telus, benar dan tidak berteraskan fitnah dan kepalsuan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!