'Tuduhan tiga MP Amanah masuk Bersatu petanda PN gelabah'

Noor Khalim Sakib
Noor Khalim Sakib
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tuduhan terhadap tiga ahli parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) konon menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat sebagai petanda Perikatan Nasional (PN) semakin lemah.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Johor, Noor Khalim Sakib berkata, PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin pastinya mahukan sesuatu yang sensasi bagi membuktikan apa yang selama ini dilakukan olehnya dilihat sebagai berada di landasan terbaik.

"Taktik menggunakan nama pemimpin Amanah itu dilihat cuba menimbulkan keyakinan kepada ahli Bersatu bahawa parti mereka kuat sehingga menarik pemimpin dari parti lain.

“Ini petanda PN gelabah dengan menyebarkan perkara tidak benar sebegini. Mereka (PN) takut untuk berhadapan dengan realiti selepas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh meletakkan jawatan semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, peletakan jawatan itu adalah satu tamparan yang hebat apabila sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin dalam PN hari ini dilihat goyah.

“Tindakan menuduh tiga Ahli Parlimen Amanah akan menyertai Bersatu adalah langkah menutup pemerhatian umum terhadap isu kelemahan PN hari ini,” katanya.

Terdahulu, dalam laporan sebuah portal mendakwa, tiga Ahli Parlimen Amanah akan menyertai Bersatu yang kemudian tersebar luas di media sosial sejak semalam.

Tiga pemimpin yang dikatakan itu ialah Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Ahli Parlimen Tampin, Dr Hasan Baharom dan Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub.

ARTIKEL BERKAITAN: Salahuddin nafi sertai Bersatu, PN

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!