Pengecualian duti eksport bantu tambah nilai hasil negara
SHAH ALAM - Pemberian pengecualian duti eksport ke atas industri berasaskan minyak sawit yang diumum dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan membantu meningkatkan nilai eksport komoditi itu ke luar negara.
Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pengumuman ini sebagai langkah tepat kerana terdapat negara pengimport telah menghentikan sekatan minyak sawit dari Malaysia.
”Pada masa ini juga, minyak sawit mentah telah meningkat harga, sejak 1 Jun 2020 yang mencecah kepada RM2,366.00 dan pada 3 Jun sebanyak RM2,389.50 bagi satu tan metrik.
“Peningkatan ini akan memberi manfaat kepada 492,000 pekebun kecil dan 258,657 pekebun persendirian di seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan mengulas pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas PENJANA sebentar tadi.
Dalam pengumuman itu, Muhyiddin mengumumkan pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas minyak sawit mentah, minyak isirong mentah dan minyak isirong sawit yang di proses mulai 1 Julai 2020 hingga 31 Disember 2020.
Katanya, keputusan ini menunjukan kecaknaan Perdana Menteri terhadap kepentingan sawit negara.
”Pengumuman ini juga akan membantu pekebun-pekebun kecil dan pengusaha industri untuk menerokai pasaran antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Jazlan berkata, MPOB sentiasa komited dengan segala usaha untuk memastikan industri sawit terus maju dan berdaya saing.
”Kami sentiasa meletakkan kepentingan pekebun, pihak industri dan negara sebagai keutamaan operasi kami,” katanya lagi.
Katanya, pada tahun 2019, sumbangan komoditi sawit telah meningkat kepada 4.76 peratus dan MPOB berharap agar momentum peningkatan harga ini terus stabil dan meningkat dalam usaha meningkatkan sosio-ekonomi semua pihak yang terlibat dengan industri ini.
Kelapa sawit merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian iaitu 37.9 peratus diikuti pertanian lain (25.1%), ternakan (14.9%), perikanan (12.5%), perhutanan & pembalakan (6.9%) dan getah (2.8%).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!