Bersatu Tebrau buat laporan polis
JOHOR BAHRU - Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tebrau, Kamaruzzaman Abu membuat laporan berhubung dakwaan fitnah terhadap Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang melalui laman Facebook.
Kamaruzzan berkata, laporan berkenaan dibuat selepas pihaknya mendapati hantaran yang dimuat naik dalam media sosial terbabit pada 2 Jun lalu mengandungi unsur hasutan dan mencemarkan nama baik Bersatu negeri.
"Tujuan saya membuat laporan ini bagi mengelak penyebaran berita palsu yang berniat mencemarkan reputasi parti dan Pengerusi Bersatu negeri, Mazlan Bujang.
"Saya berharap pihak polis melakukan siasatan bagi mencari pengendali laman Facebook terbabit seterusnya siasatan dilakukan mengikut akta hasutan," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pelangi Indah Johor Bahru Selatan petang tadi.
Terdahulu, Mazlan yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tebrau didakwa kononnya memboikot mesyuarat kepimpinan Perikatan Nasional (PN) Johor kerana menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam masa tetap menyokong kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!