Pelantikan ahli Parlimen PH terajui GLC ikut kelayakan: Tun M

DR MAHATHIR
DR MAHATHIR
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pelantikan beberapa ahli Parlimen bagi menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang lalu dibuat berdasarkan kelayakan individu tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN) yang memberi jawatan untuk meraih sokongan.

"Kita dah lantik profesional baharu dalam GLC tetapi kita lihat pengerusi (yang dilantik PN) didakwa sedang berdepan dengan pertuduhan di mahkamah.

"PN juga didakwa mengeluarkan belanja yang besar bagi membayar gaji pengerusi GLC. Apa yang membimbangkan kita jika berlaku rasuah di situ," katanya.

Terdahulu beliau diminta mengulas tindakan PH termasuk Parti Warisan Sabah yang melantik ahli Parlimen sebagai pengerusi GLC.

Sebelum ini, tular rakaman audio berdurasi 2.24 dipercayai suara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa pemimpin Bersatu dalam Langkah Sheraton pada 23 Februari lalu merancang menarik seramai mungkin pemimpin UMNO menyertai parti itu tersebar di media sosial.

Selain itu pada sidang akhbar sama, Dr Mahathir mendakwa, PN pernah cuba untuk menggantikan kedudukan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah oleh ahli politik kerana dipercayai sebagai 'lubuk publisiti' yang baik.

"Ada cubaan menggantikan Noor Hisham dengan seorang ahli politik dan meletakkan politikus di situ kerana ia langkah publisiti yang baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir berkata, bagaimanapun usaha itu gagal.

"Tugas itu dilakukan oleh orang profesional dan seorang doktor.

"Beliau telah menjalankan tugasnya dengan baik.

"Orang politik tidak boleh ambil alih tugas program profesional," katanya.

Dr Noor Hisham menjadi tumpuan selepas mengetuai pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerangi Covid-19.

Sejak gelombang kedua melanda tanah air, beliau hanya baru bercuti sehari daripada menyampaikan situasi terkini pandemik itu pada sidang media.

Popularitinya melonjak sehingga dilabelkan antara tiga doktor terbaik di dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!