Covid-19: KKM timbang dasar mandatori vaksin
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan dasar mewajibkan pengambilan vaksin koronavirus (Covid-19) meskipun tiada vaksin ditemui setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Bagaimanapun, beliau berkata, KKM perlu melihat kepada kesan sampingan dan keberkesanan vaksin itu sebelum mewajibkan pengambilannya.
"Besar kemungkinan kita akan adakan dasar untuk mewajibkan penggunaan vaksin itu. Kita perlu lihat kesan samping dan keberkesanan sebelum keluarkan satu dasar.
"Memang kajian ada tetapi belum ada lagi vaksin untuk Covid-19 tetapi apa yang penting kalau kita ada vaksin, kita juga nak melihat kepada keberkesanan dan kesan samping sebelum keluarkan sesuatu dasar," katanya pada sidang akhbar harian perkembangan Covid-19 hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM sedang berbincang dan menjalankan penyelidikan terhadap daya imuniti tubuh badan yang melawan virus Covid-19.
Jelasnya, KKM mengesan ada dalam kalangan pesakit yang tidak bergejala telah mempunyai antibodi.
"Bila adanya antibodi, ini menunjukkan pesakit pernah terdedah tetapi tidak bergejala dan tidak tahu mereka pernah dijangkiti tapi apabila test (diuji) virus, virus tiada," katanya.
Mengenai firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna akan mula percubaan fasa ketiga vaksin Covid-19 bulan depan, Dr Noor Hisham berkata, ia satu perkembangan yang baik, malah banyak negara termasuk China menjalankan penyelidikan dan kajian, namun ia akan mengambil tempoh setahun atau setahun setengah sebelum ia dipasarkan.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman lepas dalam menangani sindrom pernafasan akut teruk (SARS) dan Middle East coronavirus (MERS-CoV), walaupun tiada vaksin, namun ia dapat dikawal menerusi inisiatif kesihatan awam.
Sementara itu ditanya mengenai kelonggaran kawalan sempadan negara, Dr Noor Hisham mencadangkan agar kerjasama dengan negara ASEAN dipertimbangkan sebagai usaha mengawal penularan wabak Covid-19.
"Kita lihat pada ranking setiap negara. Negara yang teratas dan diklasifikasikan sebagai negara zon hijau, kita mungkin pertimbangkan (untuk memasuki negara). Mungkin kita perlu lihat kerjasama dengan negara jiran ataupun di bawah platform ASEAN.
"Ini semua kemungkinan yang kita boleh pertimbangkan untuk bagaimana kita boleh tingkatkan aktiviti ekonomi, sosial dan pelajaran (negara) dan juga kita boleh kawal penyakit dengan cara berhati-hati," katanya.
Ditanya mengenai gambar tular khemah saringan KKM yang dikesan di Salak Tinggi, Selangor, Dr Noor Hisham berkata, setakat ini tidak ada kes positif di kawasan itu, namun pengesanan dibuat susulan KKM mengesyaki kemungkinan ada kes berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!