Koleksi tembaga jadi tarikan
DUNGUN - Bermula dengan membeli sebuah kuali tembaga pada tahun 2018 untuk tujuan memasak, siapa sangka ia bertukar hobi dan menjadi koleksi berharga buat seorang pemuda dari Selayang Baru, Selangor ini.
Arma Mohd Faizal Abu Bakar, 34, yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara cawangan Terengganu berkata, sehingga kini dia mempunyai lebih 50 koleksi peralatan tembaga merangkumi peralatan memasak dan perhiasan rumah.
Menurutnya, minat untuk mengumpul barangan tembaga bermula apabila melihat tidak ramai dalam masyarakat kini yang menggunakan tembaga dan antara koleksinya ialah kuali, periuk, senduk, sudip, acuan kuih, sudu dan garfu serta peralatan rumah seperti pasu, pelapik mangkuk dan bekas buah.
"Penggunaan tembaga ini biasanya hanya dalam kalangan orang lama atau orang tua, tetapi bila saya mula kongsikannya, tidak sangka makin ramai yang meminati dan minta kirim untuk beli, tempah dan sebagainya.
"Saya juga nampak masyarakat Malaysia ramai yang tidak tahu kewujudan tembaga yang merupakan salah satu warisan negeri Terengganu.
"Selain digunakan untuk memasak, saya juga gunakan untuk persembahkan masakan untuk kelas atau apabila tetamu dan ahli keluarga datang dan sebagainya," katanya ketika ditemui media di kediamannya di Balai Besar di sini hari ini.
Ketua Unit Komunikasi Korporat Universiti Teknologi Mara cawangan Terengganu itu berkata, boleh dikatakan hampir semua barangan tembaganya adalah dari Terengganu kerana hasilan tembaganya yang lebih berkualiti kerana keasliannya iaitu tiada logam campuran.
Arma Faizal turut memperuntukkan sejumlah gajinya setiap bulan untuk membeli tembaga sebagai hadiah untuk diri sendiri dan menambahkan koleksi sedia ada.
Katanya, hobi mengumpul tembaga bukanlah pembaziran kerana mempunyai nilai yang tinggi, malah kebanyakan barangan yang dibeli juga memang digunakan kerana latar belakangnya dalam bidang kulinari.
"Daripada situ juga, timbul idea sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya mengajar pelajar saya, iaitu pelajar Diploma Seni Kulinari secara online dan peralatan tembaga ini dijadikan sebagai salah satu peralatan yang digunakan semasa membuat video salah satu subjek kuih Melayu tempatan.
"Bila saya buat perkongsian dengan pelajar, timbul minat kepada orang ramai kerana saya turut berkongsi di Instagram dan Facebook video-video tersebut. Kebanyakan orang memberikan maklum balas yang baik kerana jarang nampak penggunaan tembaga ini sekarang.
"Tapi sekarang bila kita cuba berkongsi dengan masyarakat luar, barulah orang tahu sebenarnya banyak kegunaan barangan tembaga ini contohnya acuan kuih dan kuali memasak kerana biasanya orang gunakan untuk perhiasan, cenderahati dan simpan dalam almari," katanya.
Arma Mohd Faizal berkata, penggunaan dan pendedahan tentang tembaga itu diharap dapat memberikan inspirasi kepada masyarakat luar di samping dapat membantu pengusaha tembaga di Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!