Remaja 19 tahun dalang curi kereta sport

Kereta sport Toyota Supra 2020. - Foto Toyota
Kereta sport Toyota Supra 2020. - Foto Toyota
A
A
A

STAMFORD - Polis mendedahkan seorang remaja merupakan dalang kecurian sebuah kereta sport di sebuah pusat jualan kenderaan pada hari Selasa lalu, lapor akhbar Greenwich Time pada Khamis.

Sebelum ini, pihak syarikat Toyota melaporkan sebuah kereta berwarna biru iaitu Supra 2020 dicuri di pusat jualan kenderaan tersebut di East Main Street pada jam 1.30 petang, kata polis.

Kereta sport itu berharga AS$57,000 (RM243,138).

Bagaimanapun, seorang pegawai pusat penjualan kenderaan itu, Jamie Torres menemui kereta sport tersebut sedang dipandu di sebatang jalan raya.

Ketika kejadian, beberapa anggota polis termasuk ketuanya, Tim Shaw sedang mengedarkan pelitup muka kepada komuniti penduduk di kawasan berhampiran dengan laluan kereta sport itu di Gereja Bethel A.M.E. di Fairfield Avenue.

Polis kemudian bertindak menahan kereta Toyota Supra itu dengan pantas.

Polis turut menahan remaja yang memandu kereta sport itu, Milton Cruz, 19, dari Hurst Street, Bridgeport dengan dakwaan melakukan kecurian barangan peribadi peringkat pertama, kata polis.

Dia kini ditahan sebagai ganti dengan bon jaminan sebanyak AS$25,000 (RM106,653).

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan polis, ketika kejadian kereta sport itu dibiarkan tidak berkunci dengan alat penghidup enjin berada di dalam kenderaan tersebut.

"Saya mahu mengingatkan orang ramai supaya mengunci kereta mereka dan tidak meninggalkan kunci di dalamnya," kata Penolong Ketua Polis, Tom Wuennemann. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!