Ada manis dalam pahit
SECARA fizikalnya, amat mustahil untuk mencari manis dalam sesuatu yang pahit. Namun secara rohaninya, tidak mustahil untuk dicapai. Pun begitu, soal ujian ini bukannya sesuatu yang mudah untuk ditangani.
Hakikatnya, berat mata memandang berat lagi yang dipikul oleh kita yang menerima ujian. Orang lain hanya boleh bersimpati kepada kita, namun kita harus kuat untuk menanganinya.
Baru-baru ini, saya terserempak dengan seorang kenalan. Selepas bertanya khabar, rupanya beliau telah pencen awal dengan jabatan kerajaan disebabkan faktor kesihatan.
Umur beliau masih muda dan tidak sampai 10 tahun berkhidmat dengan jabatan kerajaan, namun kerana penyakit skizofrenia (gangguan mental yang terjadi dalam jangka masa panjang) menyebabkan beliau telah dinasihatkan pencen awal.
Apa yang nyata, kejadian yang berlaku kepada beliau amat menyedihkan saya.
Sebetulnya, perkara utama yang menyebabkan kita gagal untuk menghadapi sesuatu ujian kerana kita tidak bersedia sejak dari awal membentuk sistem kepercayaan berkaitan hal itu.
Secara umumnya, sistem kepercayaan tersebut terbahagi kepada dua iaitu, perlunya kita yakin kepada agama dan seterusnya mempercayai bahawa setiap ujian boleh diselesaikan dengan mempelajari teknik coping skills atau mempelajari teknik menangani sesuatu masalah.
Menurut perspektif agama, kita perlu bersandar kepada tiga ayat dalam Surah Al-Baqarah iaitu: “Demi sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah, 1:155).
Kedua, “dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan ALLAH jua yang mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahuinya.” ( Surah Al-Baqarah, 1:216).
Ketiga, “ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah Al-Baqarah, 1:286)
Merujuk kepada ayat-ayat tersebut, saya cukup tertarik dengan syarahan Sheikh Dr Ramadan Al-Buti berkaitan dengan seorang hamba ALLAH yang taat melaksanakan perintah-Nya namun dikenakan ujian dengan kematian anaknya yang amat dikasihi.
Pun begitu, sebelum menjawab soalan berkenaan, beliau bertanya kepada lelaki berkenaan: “Adakah kita hidup di dunia ini berdasarkan syarat-syarat yang kita tetapkan kepada ALLAH atau kita hidup di dunia ini dengan syarat (qada dan qadar) yang ditetapkan oleh ALLAH kepada kita?”
Menurut beliau lagi: “Jika hidup di dunia ini dengan syarat-syarat kita dan dipersetujui oleh ALLAH sebelum kita lahir ke dunia lagi, maka wajarlah kita membantah apa yang berlaku kerana syarat tersebut dikhianati.
Bagaimanapun, hakikatnya kita adalah hamba yang diciptakan daripada sesuatu yang tiada kepada ada ke dunia ini dengan qada dan qadar ALLAH tetapkan kepada kita.
Justeru, kita perlu sedar bahawa setiap hamba-Nya harus menerima ujian dan ALLAH tahu apa yang terbaik untuk kita. Ini bermakna kita perlu bersabar dan sentiasa bermuhasabah diri dan sentiasa dekatkan diri dengan ALLAH.”
Dari perspektif psikologi, kita perlu memahami bahawa pemikiran, emosi, fisiologi dan tingkah laku kita akan terganggu apabila menerima ujian.
Langkah awal yang perlu dilakukan adalah untuk tidak mempercayai segala apa yang masuk ke dalam kepala kita kerana boleh menjadi toksik kepada emosi, fisiologi dan tingkah laku kita.
Seterusnya berkongsilah dengan mereka yang boleh memberikan sokongan emosi kepada kita. Ingatlah, jangan terlalu lama memendam perasaan kerana boleh menggagalkan usaha kita untuk mencari manis dalam kepahitan.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!