Peluang BN menang percuma di PRK DUN Chini
KUANTAN - Keputusan PKR tidak meletakkan calon pada PRK DUN Chini membuka peluang calon UMNO-BN menang tanpa bertanding pada pilihan raya kecil itu bulan depan.
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jika ia berlaku, PRK DUN Chini khususnya dalam tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 20 Jun ini sehingga hari pengundian 4 Julai depan, tidak perlu diadakan.
Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) dan calon Bebas perlu memberi laluan kepada calon UMNO-BN untuk menang tanpa bertanding pada pilihan raya kecil itu
"Ia juga secara tidak langsung dapat mengelakkan pergerakan serta aktiviti menjelang dan semasa PRK tersebut yang dibimbangi boleh menyumbang kepada penularan wabak koronavirus (Covid-19).
ARTIKEL BERKAITAN: PKR tak tanding di PRK DUN Chini
Bukan masa sesuai adakan PRU, kata Tun M
"Saranan ini selari dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat sekarang bukan masa sesuai mengadakan pilihan raya di negara ini berikutan keadaan tidak mengizinkan dan tumpuan seharusnya diberi kepada usaha mengekang penularan wabak pandemik ini," katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, walaupun sesetengah berpandangan wajar pilihan raya diadakan sekarang namun beliau berpandangan sekarang negara tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya.
"Katanya, jika pilihan raya diadakan, proses pilihan raya termasuk berkempen, berkumpul dan aktiviti biasa semasa pilihan raya tidak dapat dilakukan.
"Beliau (Tun Dr Mahathir) mungkin lebih menjurus kepada PRU tetapi seharusnya meliputi PRK Chini ini kerana kedua-duanya turut melibatkan pergerakan orang ramai, yang boleh mengancam kesihatan awam menerusi jangkitan wabak Covid-19 ini," katanya.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang menambah, saranan agar BN diberi laluan menang tanpa bertanding itu juga selari dengan kenyataan media Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini yang mengumumkan parti tersebut tidak akan meletakkan calonnya bertanding pada PRK Chini atas alasan serupa.
"Sekiranya PRK Chini tidak diadakan, ia juga boleh menjimatkan kos kira-kira RM4.3 juta yang bakal ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain kos yang perlu disediakan calon-calon serta parti-parti yang bertanding," katanya.
Wan Rosdy berkata, ketika ini BN menjalin kerjasama erat dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), dan sekali gus memberi peluang kepada calon UMNO-BN untuk menang lebih besar lagi jika wujud pertandingan.
"Hal ini tidak bermakna UMNO-BN bersikap riak atau takbur tetapi sekadar menyatakan realiti semasa. Oleh itu, lebih munasabah dan praktikal jika parti-parti lain termasuk calon Bebas atau mana-mana calon tajaan tidak bertanding.
"Saranan ini mungkin dilihat tidak demokratik tetapi inilah penyelesaian terbaik dalam keadaan negara dan negeri masih dibelenggu penularan wabak Covid-19 yang menggerunkan," katanya.
PRK CHini diadakan susulan kematian adunnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun 6 Mei lalu.
Allahyarham dekat di hati pengundi dan berjaya mempertahankan kerusi itu selama empat penggal bermula PRU 11.
Pada PRU14 lalu, Allahyarham yang mesra dipanggil Datuk Burn atau Ayah Nga dalam kalangan penduduk memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti besar, 4,622 undi.
Allahyarham meraih 10,027 undi berbanding calon Pas ketika itu, memperolehi 5,405 undi dan calon dari PKR hilang wang pertaruhan apabila hanya mendapat 1,065 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!