Covid-19: Singapura catat 344 kes baharu
SINGAPURA - Singapura mengesahkan 344 kes baharu koronavirus (Covid-19) menjadikan jumlahnya meningkat kepada 37,527 kes.
Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu berkata, data pada tengah hari ini menunjukkan majoriti kes adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.
"Berdasarkan siasatan kami setakat ini, terdapat tujuh kes dalam komuniti dengan tiga daripadanya adalah warga Singapura atau penduduk tetap dan empat adalah pemegang pas kerja," kata kementerian itu dalam kenyataan.
Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam (Jumaat), Singapura mengklasifikasikan 1,722 sebagai kes komuniti, 580 sebagai kes import dan 34,881 sebagai pekerja asing yang tinggal di asrama.
Sebanyak 24,209 pesakit, atau kira-kira 65 peratus daripada jumlah kumulatif 37,183 semalam telah pulih sepenuhnya.
Kementerian itu berkata, 12,643 pesakit yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal tetapi masih diuji positif untuk Covid-19 diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.
Setakat tengah hari semalam, 307 kes yang disahkan masih berada di hospital dengan empat daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi.
Sejumlah 24 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.
Hanya satu kluster baharu dikenal pasti semalam melibatkan asrama di 781 Woodlands Avenue 9.
Memandangkan tidak ada lagi kes yang berkaitan dengan Acacia Home of Admiralty untuk tempoh dua inkubasi lepas, kluster itu kini ditutup. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!