Covid-19: KKM jangka tidak ada peningkatan kes mendadak
PUTRAJAYA - Hanya dua kes koronavirus (Covid-19) melibatkan warga asing di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) sedang menunggu keputusan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, ia melibatkan tahanan di DTI Bukit Jalil yang menunggu keputusan saringan kali kedua.
"Dengan itu kita tidak akan menjangkakan kes mendadak sehingga tiga digit seperti sebelum ini," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.
Beliau berkata, manakala semua tahanan di tiga DTI iaitu Semenyih, Sepang dan Putrajaya (DTI sementara) masing-masing telah selesai disaring.
Katanya, untuk keempat-empat DTI itu, seramai 4,908 individu telah disaring dan daripada jumlah itu, seramai 736 didapati positif.
Dr Noor Hisham berkata, mereka yang positif telah diasingkan dan yang negatif pada sampel pertama telah dikuarantin.
"Sekarang ini kita melaksanakan ujian saringan kedua dan di ujian kedua ini kita dapati ada dalam kalangan mereka positif sebab mereka telah terdedah (kepada pesakit positif) dan kita pun dah asingkan dan tempatkan mereka di hospital sementara MAEPS, jadi terkawal sebab mereka di dalam DTI," katanya.
Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini berkesan dalam mengawal penularan wabak Covid-19 dengan ketika ini kes membabitkan rakyat Malaysia sudah mencapai satu angka.
Katanya, pihaknya menjangkakan kes mendadak selepas sambutan Aidilfitri, namun ia tidak berlaku.
Ditanya mengenai kriteria bagi pembukaan semula kedai gunting dan dandanan rambut serta salun kecantikan, beliau berkata, sekiranya penularan dapat dikawal seperti selepas sambutan hari raya, sudah tiba masanya sektor yang lain dibuka untuk beroperasi.
"Sekarang ini kita memantau dengan prosedur operasi standard (SOP) dan juga dari segi pematuhan kepada SOP tersebut,” katanya.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!