PPIM gesa pemandu, penunggang e-hailing carum Perkeso
KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak kerajaan dan syarikat e-hailing memastikan semua pekerja sektor itu mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, sehingga hari ini tidak ramai pekerja bidang itu mencarum dengan Perkeso meskipun mengetahui pekerjaan dalam bidang itu sangat terdedah dengan kes kemalangan jalan raya.
"Saya difahamkan terdapat kira-kira 150,000 pemandu e-hailing berdaftar dengan Kementerian Pengangkutan tidak termasuk sekitar 300,000 hingga 400,000 lagi yang terbabit dalam e-hailing motosikal.
"Justeru, perlu diwujudkan satu kaedah yang mudah untuk memastikan pekerja e-hailing mencarum dengan Perkeso dan saya fikir perkara ini akan memberi banyak manfaat kepada pekerja itu sendiri.
"Syarikat e-hailing itu sendiri perlu menjadi pemudah cara proses dan boleh menyumbang sesuatu seperti membantu sebahagian jumlah caruman yang pasti lebih menarik pemandu dan penunggang mencarum," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Jom Sembang Santai Silaturahim 'Cabaran Masa Depan Komuniti e-Hailing' bersama beberapa pihak berkepentingan termasuk wakil pemandu dan penunggang e-hailing serta Perkeso di Restoran Ali Cafe, Jalan Pantai Baharu di sini, hari ini.
Sesi itu turut sama membincangkan isu kemalangan seorang penghantar makanan yang maut akibat dilanggar pemandu mabuk di ibu negara baru-baru ini.
Jelasnya, isu kemalangan membabitkan sektor itu perlu diberi perhatian serius kerana membabitkan masa depan mangsa dan keluarga mangsa yang dilihat tidak begitu terbela.
"Kita kini sedang berusaha mengumpulkan semua cadangan berkaitan sektor e-hailing ini dan akan menyampaikannya kepada pihak berkaitan termasuk Perdana Menteri untuk pertimbangan lanjut secepat mungkin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!