Nestle peruntuk RM15 juta bantu rakyat Malaysia
PETALING JAYA - Nestle Malaysia memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi membantu kerajaan memerangi pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.
Peruntukan yang disalurkan di bawah inisiatif Nestle Cares itu termasuk agihan lebih 120,000 mangkuk MAGGI bubur lambuk berserta 20,000 pek makanan dan minuman Nestle kepada golongan yang memerlukan serta petugas barisan hadapan sepanjang Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada sumbangan RM15 juta bagi membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40), pelajar, rumah-rumah kebajikan dan petugas-petugas barisan hadapan.
“Ini adalah komitmen kami untuk menyokong masyarakat yang memerlukan sebagai sebahagian daripada program bantuan Nestle Cares Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI, Nestle (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna berkata, pihaknya bertuah kerana dapat mengagihkan makanan berkhasiat kepada rakyat Malaysia.
“Ia adalah tradisi yang diamalkan MAGGI sejak bertahun-tahun lamanya untuk mengagihkan makanan tradisional MAGGI bubur lambuk kepada orang ramai untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!