Lelaki maut kemalangan motosikal
SABAK BERNAM - Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah motosikal lain di Jalan Parit 9 di sini semalam.
Kejadian jam 11 pagi itu mengakibatkan mangsa yang berusia 56 tahun beralamat di Parit 11 Jalan Baru, Sungai Panjang, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, mangsa yang maut menunggang motosikal Yamaha Y15 bersendirian dari dari arah Parit 5 menuju ke rumahnya di Parit 11.
Menurutnya, penunggang motosikal Yamaha Lagenda berusia 40 tahun dan anaknya berusia enam tahun pula dalam perjalanan dari rumah mereka di Parit 8 Timur ke sebuah stesen minyak di Parit 13 Sungai Panjang.
"Sejurus tiba di tempat kejadian, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar bahagian belakang Yamaha Lagenda terbabit.
"Akibat rempuhan itu, mangsa yang terjatuh meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua beranak terbabit mengalami cedera ringan," katanya.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!