Burung helang sesat masuk hospital
TELUK INTAN - Seekor burung helang dianggarkan seberat 10 kilogram berjaya diselamatkan selepas dipercayai tersesat masuk ke sebuah hospital di sini malam tadi.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hilir Perak menerima panggilan kejadian itu sekitar jam 9.18 malam daripada kakitangan hospital kerana dikhuatiri haiwan berkenaan masuk ke wad pesakit.
Pegawai APM Hilir Perak, Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, burung helang dewasa itu tersasar di tingkat satu bangunan hospital dan berada dalam keadaan lemah.
"Burung berkenaan cuba terbang namun kembali rebah, kemungkinan mengalami kecederaan.
"Haiwan itu tidak bertindak agresif ketika dihampiri," katanya.
Katanya, burung helang itu telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!