Wanita mabuk berang ditahan
KAJANG - Seorang wanita bertindak agresif dan enggan memberi kerjasama kepada pihak polis selepas berang diperiksa semasa Op Mabuk di Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, wanita berusia lingkungan 30-an terbabit antara tujuh individu yang ditahan dalam operasi yang yang bermula kira-kira jam 9 malam.
"Kita telah tahan wanita yang dipercayai mabuk itu dan dibawa ke Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut.
"Wanita itu telah disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya kepada pemberita di lokasi operasi.
Azman berkata, selain itu, tujuh lelaki yang turut ditahan kerana dipercayai memandu dalam keadaan mabuk disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam operasi berlainan, empat lagi individu turut ditahan dalam Op Mabuk di daerah Klang Selatan.
Mengulas berkenaan statistik yang dilaksanakan pihaknya di seluruh Selangor, Azman berkata, pada tahun 2018 sebanyak 75 operasi dilaksanakan dengan 62 tangkapan dilakukan manakala tahun lalu sebanyak 68 operasi serta 47 tangkapan.
"Bagi tahun ini pula sehingga Jun, seramai 57 individu ditahan menerusi lima operasi yang dilaksanakan.
"Selain itu, sepanjang tahun 2018 sehingga kini sebanyak 183 kemalangan dengan 10 kematian direkodkan," katanya.
Katanya, operasi ini akan diteruskan untuk polis mengekang pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.
"Diingatkan, usah memandu di dalam pengaruh alkohol. Perlu ada sifat tanggungjawab kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. Lihatlah kesan apa yang berlaku apabila memandu di bawah pengaruh alkohol ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!