Hutan Simpan Jengka diceroboh

Jengkaut yang ditemui di lokasi pencerobohan Hutan Simpan Jengka disita untuk tindakan lanjut. FOTO JPNP
Jengkaut yang ditemui di lokasi pencerobohan Hutan Simpan Jengka disita untuk tindakan lanjut. FOTO JPNP
A
A
A

TEMERLOH - Unit Penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan Bera berjaya mematahkan kegiatan menceroboh Hutan Simpan Jengka dipercayai untuk projek pertanian tanpa kebenaran di sini kelmarin.

Penceroboh dipercayai sudah lama merancang untuk meneroka kawasan terbabit dan mereka mengambil kesempatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melakukan kerja-kerja penerokaan di kawasan itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pegawai PHD Temerloh dan Bera, Azmi Abdul Rahman berkata, atas maklumat penduduk, pihaknya segera melalukan pemeriksaan dan mendapati berlaku pencerobohan melibatkan kawasan seluas dua hektar di Komparment 27 hutan simpan berkenaan.

Menurutnya, dalam operasi itu pihaknya juga mendapati tanah kerajaan seluas lebih satu hektar yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Jengka turut diceroboh.

“Hasil serbuan itu, pihaknya menyita sebuah jengkaut dipercayai digunakan untuk membersihkan kawasan hutan selain tiga tual balak yang sedia untuk dipindahkan.

“Jentera dan balak yang sita disimpan di pusat simpanan barangan rampasan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Pejabat Hutan Ladang Kemasul, Temerloh untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dengan aktiviti menceroboh hutan simpan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang mencabar undang-undang.

“Jika ditangkap, individu terbabit boleh didakwa di bawah Seksyen 81(1)(e) Akta Perhutanan Negara 1984 yang memperuntukkan hukuman didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes penebangan balak secara haram untuk dijadikan kayu bergergaji meningkat sepanjang PKP.

"Pihak berkenaan mengambil kesempatan PKP untuk melakukan kerja-kerja ini kerana beranggapan anggota penguatkuasa tidak bertugas.

"Saya memberi amaran tegas kepada mereka yang bercadang untuk melakukan aktiviti itu agar tidak meneruskan niat mereka atau sedia berdepan tindakan undang-undang jika tertangkap,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!