KUALA TERENGGANU - Seorang tukang kebun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencabul anak saudara perempuannya berusia 8 tahun Julai tahun lepas. Bagaimanapun, tertuduh berusia 53 tahun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di Marang pada Julai 2019. Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Mahkamah menetapkan 13 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahkan dokumen dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7, 000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali setiap bulan selain menyerahkan pasport miliknya kepada pihak mahkamah. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan ( YBGK) Nurul Syafikah Mohd Shafie. Difahamkan, mangsa hanya berani menceritakan kepada ibunya yang dia dicabul oleh tertuduh pada jam 3 petang, 10 Mei lalu. Mangsa memaklumkan perbuatan itu dilakukan ketika dia bermalam di rumah tertuduh sejak 2015 dan berlarutan sehingga tahun lalu. Mangsa mendakwa tertuduh ada mengugut yang dia akan kehilangan orang tersayang jika menceritakan kejadian itu.