[VIDEO] Proses gunting rambut ikut SOP ditetapkan kerajaan
SHAH ALAM - Jawatankuasa Kerja Penilaian Risiko dan Cara Kerja Selamat sektor gunting rambut menghasilkan sebuah video interaktif yang memaparkan proses menggunting rambut dari awal hingga akhir mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Ketua Penyelarasnya, Abd Mutalib Abd Gapar berkata, video interaktif itu diharap memberi keyakinan kepada pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan itu yang terkesan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu.
Menurutnya, video itu memberi gambaran jelas bagaimana turutan kerja menggunting rambut dan pematuhan SOP tersebut.
"Kita berharap pelanggan dapat mengetahui SOP perkhidmatan menggunting rambut dan langkah yang dicadangkan dalam menangani risiko jangkitan penularan wabak koronavirus (Covid-19)," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Abd Mutalib berkata, jawatankuasa itu dianggotai Malaysian Industrial Safety and Health Association (MiSHA), Persatuan Penyiar Muda Malaysia (Mybro) dan Malaysian Barber Bumiputera Association (MBBA).
Menurutnya, satu perjumpaan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah diadakan bagi membentangkan SOP tentang pengendalian selamat aktiviti gunting rambut.
"Jawatankuasa ini diwujudkan bertujuan mengendalikan analisa kerja selamat terhadap sektor gunting rambut serta mencadangkan langkah kawalan yang paling optimum dalam menghindar penularan Covid-19 di dalam sektor ini.
"Dalam analisa kerja selamat ini, aktiviti gunting rambut akan diakses secara tertib mengikut turutan kerjanya bermula seawal kedai dibuka sehinggalah penutupan kedai.
"Ia dibahagikan kepada tiga tahap iaitu sebelum, semasa dan selepas operasi perkhidmatan itu dijalankan," katanya.
Beliau berkata, beberapa langkah kawalan dicadangkan di dalam pentaksiran itu seperti penggunaan pakaian perlindungan diri (PPE) digunakan penggunting rambut dan pelanggan,saringan suhu, pengesanan kontak dan proses sanitasi.
"Selain itu, langkah lain yang turut dicadangkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi, kaedah pengurusan temu janji, pembuangan PPE yang sistematik, papan tanda amaran dan sebagainya," katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan kedai gunting dan dandanan rambut dibenarkan beroperasi semula dengan SOP ketat mulai 10 Jun ini.
Aktiviti dibenarkan termasuk gunting dan cuci rambut asas, solekan dan rawatan rambut, cukur jambang dan misai, manikur dan pedikur serta cuci dan rawatan muka.
Golongan berisiko iaitu individu berusia 60 tahun ke atas, proses guntingan diwajibkan secara temu janji dan tanpa kehadiran lain-lain pengunjung daripada kumpulan umur lain manakala ibu bapa dibenarkan hadir bersama bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!