Pendaftaran perkahwinan terjejas perlu diselesaikan 31 Julai
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Semua pendaftaran perkahwinan bukan Islam yang terjejas dan tertangguh sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diselesaikan sebelum 31 Julai ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, perkara itu perlu dilakukan supaya mereka tidak perlu mengemukakan permohonan baharu selain tidak perlu membayar fi sekali lagi.
Bagi penganut bukan Islam pula, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi urusan pendaftaran perkahwinan dan penceraian.
“JPN juga akan membenarkan pendaftaran perkahwinan berlangsung di 171 rumah ibadat (kuil, gereja atau persatuan agama) yang diluluskan beroperasi oleh Kementerian Perpaduan Negara sepanjang tempoh PKP,” katanya pada sidang akhbar harian PKP Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya, SOP berkenaan aktiviti sukan akan diumumkan secara terperinci esok.
Mengulas mengenai sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan koronavirus (Covid-19) yang negatif, Ismail Sabri menasihati orang ramai agar tidak terjebak dengan sindiket berkenaan yang dilihat hanya merisikokan diri sendiri dan keluarga.
“Jangan ada yang membeli surat palsu itu, keadaan diri yang sebenar kita tak tahu, kita ada surat negatif tapi kalau sebenarnya kita positif apa akan jadi kepada keluarga kita dan sebagainya,” katanya.
Semalam media melaporkan polis menahan dua lelaki warga Bangladesh dalam serbuan Ops Pemalsuan Keputusan Ujian Saringan Covid-19 di Jalan Alor, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, semua pasar terbuka, pasar pagi dan pasar malam serta bazar ria di seluruh negara dibenarkan beroperasi bermula 15 Jun ini tertakluk kepada SOP yang ditetapkan.
“Apabila saya umum pasar malam, pasar pagi boleh dibuka maka ia membabitkan seluruh negara termasuk car boot sale cuma kemungkinan SOP berbeza mengikut PBT (pihak berkuasa tempatan)...mungkin SOP di bandar kecil berbeza dengan kota raya,” katanya.
Menyentuh mengenai kebenaran untuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) melaksanakan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bermula 20 Jun ini, beliau berkata, setiap anggota rondaan diwajibkan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera bagi membolehkan penilaian kesihatan kendiri.
"Jika mereka didapati tidak mematuhi SOP ditetapkan, Kementerian Perpaduan Negara akan menarik balik serta-merta kebenaran yang diberikan kepada KRT terbabit," katanya.
Selain itu katanya, setiap pasukan rondaan SRS tidak boleh melebihi lima orang pada satu-satu masa dan Kementerian Perpaduan Negara akan menyediakan peralatan seperti pelitup separuh muka, rompi dan lampu picit untuk anggota rondaan serta akan berbincang dengan kerajaan negeri, PBT dan polis untuk penyelarasan aktiviti rondaan.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kelonggaran syarat untuk mendirikan solat berjemaah dan Jumaat berasaskan kepada keluasan masjid yang diumumkan semalam hanya terpakai untuk rakyat tempatan.
"Kebenaran solat Jumaat dan solat berjemaah ini tidak termasuk warga asing...ini kerana isu kes Covid-19 yang lebih tinggi dalam kalangan warga asing.
"Kalau warga asing datang memenuhi masjid sampai tiada tempat untuk warga tempatan, tak bolehlah keutamaan warga Malaysia. Setakat ini hanya untuk warga Malaysia dan tidak untuk warganegara asing," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!