Peminta sedekah didenda RM25,000 seret anak anjing
KOTA BHARU - Seorang peminta sedekah didenda RM25,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah menganiaya binatang dengan menjerut dan mengheret leher seekor anak anjing betina dengan tali.
Hukuman diputuskan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin terhadap tertuduh, Ibrahim Hamat, 51 pertuduhan dibacakan jurubahasa..
Tertuduh yang berasal dari Kuala Krai tersebut mengaku salah atas pertuduhan dengan kejam menyebabkan kesakitan dan penderitaan terhadap seekor anjing betina di Jalan Dato Pati berhampiran stesen kereta sewa di sini pada jam 1.12 petang, 25 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, Mohd Sharif Sabran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh merayu hukuman terhadapnya diringankan, namun Mohd Sharif meminta mahkamah memberikan hukuman sebagai pengajaran kerana mangsa melibatkan seekor anjing yang baru berusia empat bulan.
“Usianya masih kecil, tertuduh pula bertindak mengikat dan mengheretnya di atas jalan raya tanpa belas kasihan. Haiwan tersebut tidak boleh berkata-kata malah tidak membawa sebarang ancaman atau serangan kepada tertuduh mahupun orang lain,” katanya.
Sebelum itu, rakaman kejadian kejadian tersebut tular di laman Facebook Persatuan Haiwan Malaysia dan menerima kecaman daripada netizen.
Seorang wanita yang merakam perlakuan tersebut menyelamatkan haiwan berkenaan selepas membayar RM50 seperti yang diminta lelaki berkenaan.
Anjing berkenaan kini dalam keadaan sihat dan difahamkan dijaga oleh wanita yang menyelamatkannya itu.
Tertuduh bagaimanapun gagal menjelaskan denda itu dan perlu menjalani hukuman penjara selama empat bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!