Pelancongan domestik dibuka semula
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memutuskan untuk membenarkan aktiviti pelancongan domestik menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berkuat kuasa Rabu ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri dikenakan.
"Jadi saudara-saudari bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu atau new normal setelah hampir tiga bulan tidak ke mana-mana.
"Bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, tunggu dulu kerana sempadan negara kita masih ditutup," katanya pada perutusan khas Perdana Menteri sebentar tadi.
Pengumuman itu dijangka akan memberi kelegaan kepada pengusaha sektor pelancongan termasuk industri perhotelan yang terjejas teruk sejak penularan pandemik koronavirus (Covid-19) sebelum ia semakin parah selepas PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.
Pada 13 Mac lalu, Muhyiddin berkata, sektor pelancongan negara dianggarkan mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM3.37 bilion dari Januari hingga Februari 2020 akibat penularan wabak itu.
Katanya, ia susulan pembatalan pakej pelancongan dan turut menjejaskan mereka yang bekerja dengan syarikat penerbangan dan perhotelan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!