Rindu isteri muda alasan 'popular' mohon rentas negeri

Roslee
Roslee
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahu menziarahi isteri muda antara alasan popular individu yang memohon kebenaran mahu merentas negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya menggunakan budi bicara bagi lelaki yang berkahwin lebih daripada satu tetapi mereka perlu menunjukkan surat atau dokumen berkaitan sebagai bukti.

"Pada mulanya, mereka tidak mahu memaklumkan tujuan asal mahu merentas negeri mungkin kerana malu tetapi terpaksa akur dan kebenaran diberikan dengan melihat beberapa faktor," katanya pada sidang akhbar berkaitan pencapaian Op Mule Siri 2/2020 Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dan Ketua JSJK Terengganu, Superintendan M.Zambri Mahmud.

Roslee berkata, pihaknya menerima antara 500 hingga 700 permohonan melakukan perjalanan rentas negeri setiap hari.

"Semalam sahaja, kita menerima 748 permohonan dengan pelbagai alasan namun enam daripadanya ditolak kerana gagal memberi alasan munasabah.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 65,845 kenderaan yang mahu memasuki Terengganu diperiksa dengan 297 daripadanya diarah berpatah balik manakala 33 lagi dikenakan kompaun RM1,000 serta-merta ketika ditahan dalam sekatan jalan raya.

"Mereka gagal mengemukakan dokumen berkaitan selain ada yang memalsukan dokumen kononnya mendapat tawaran bekerja sedangkan surat itu palsu dan merentas negeri semata-mata mahu pulang ke kampung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!