6,234 rakyat Malaysia masih berada di benua Afrika

Datuk Kamarudin Jaffar.
Datuk Kamarudin Jaffar.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar Negeri memaklumkan sehingga 1 Jun 2020, seramai 6,234 orang rakyat Malaysia yang masih berada di negara-negara di benua Afrika telah berdaftar dengan Kerajaan Malaysia.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, perwakilan Malaysia di Afrika memantau rapat perkembangan kes koronavirus (Covid-19) di benua berkenaan dan sentiasa menghulurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat penguatkuasaan langkah-langkah pengekangan penularan wabak oleh kerajaan negara di benua tersebut.

Menurutnya, pada masa yang sama, Kementerian Luar Negeri sedia maklum dan mengambil berat permasalahan yang dilaporkan berlaku melibatkan rakyat Malaysia di Mesir, Sudan serta Nigeria seperti yang telah tular di media sosial.

"Dalam hal ini, usaha berterusan Kementerian Luar Negeri menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Mesir sehingga hari ini telah memudahcara kepulangan seramai 5,291 orang pelajar ke tanah air walaupun situasi di negara tersebut masih terkawal dan operasi penerbangan komersial masih digantung berikutan pelaksanaan arahan kawalan pergerakan oleh pihak berkuasa Mesir sejak Mac tahun ini.

"Di samping itu, kementerian melalui perwakilan Malaysia di Afrika terus berusaha menyediakan alternatif terbaik bagi membantu rakyat Malaysia di rantau tersebut yang terjejas berikutan penutupan sempadan dan penggantungan operasi penerbangan komersial.

"Antaranya menyelaras maklumat penerbangan komersial bagi membawa rakyat Malaysia ke negara ketiga yang mempunyai penerbangan ke Kuala Lumpur serta mencari alternatif kaedah penerbangan yang bersesuaian dan pada kos yang berpatutan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Kementerian Luar Negeri juga turut mengalu-alukan penglibatan mana-mana individu, organisasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu memudahcara kepulangan rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas akibat penguatkuasaan langkah-langkah pengekangan penularan wabak Covid-19 oleh kerajaan di benua Afrika ini.

"Warga Malaysia di luar negara dinasihatkan untuk terus berhubung dengan Perwakilan Malaysia yang berkenaan bagi mendapatkan perkembangan berkaitan perkara ini dari masa ke masa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!