Sudah suratan anak saya..
MARANG - "Saya reda dengan ketentuan Ilahi. Saya tidak mahu memperbesarkan perkara ini kerana memang sudah suratan anak saya.. sudah sampai masanya," luah Abdull Aziz Idris, 63, bapa kepada Nur Amira Fathihah, 25, yang meninggal dunia pada 3 Jun lalu selepas 10 hari bertarung nyawa akibat keracunan puding buih.
Walaupun masih bersedih dengan kehilangan anak sulungnya itu, Abdul Azizi membuat keputusan tidak akan mengambil tindakan undang-undang kepada peniaga berkenaan.
"Setelah apa yang berlaku, saya harap semua peniaga dapat menjaga tahap kebersihan makanan yang disediakan.
"Jangan kejadian sebegini (yang menimpa anaknya) berulang kepada orang lain pula," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Makmur, Sungai Kerak di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa keracunan puding buih meninggal dunia
Beliau sebelum itu menerima kunjungan Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Nurkhuzaini Abdul Rahman dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin.
Selain Nur Amira Fathihah, Abdull Aziz dan anak bongsunya, Muhammad Amer Hidayat Abdull Aziz, 18, turut dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas mengalami keracunan akibat makan puding buih yang dibeli secara atas talian pada 22 Mei lalu.
Mereka merupakan antara 99 mangsa dari Kuala Terengganu dan Marang yang dikejarkan ke HSNZ selepas mengalami muntah dan cirit-birit.
Sementara itu, ibu mangsa, Rohayu Arifin, 50, berkata, keluarganya masih bersedih dengan kejadian yang menimpa namun menerima pemergian anaknya itu.
"Saya bagi pihak keluarga berterima kasih di atas keprihatinan semua pihak termasuk kerajaan negeri dan Perkeso.
"Saya harap kejadian itu menjadi peringatan peringatan kepada semua. Pihak berkuasa juga dapat mengambil tindakan sewajarnya kepada peniaga yang tidak mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan selepas ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!