Polis siasat nahas tular akibat pemandu mabuk
KAMPAR - Polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca nahas mengorbankan seorang penunggang motosikal di Jalan Batu Sinar berhampiran sebuah stesen minyak di Bandar Baru Kampar, semalam sama ada disebabkan pemandu mabuk seperti yang tular di media sosial.
Dalam kejadian jam 11.55 malam itu, tukang kebun sekolah, S Esu, 39, maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.
Kejadian itu tular di media sosial dan didakwa berlaku disebabkan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, sampel darah kedua-dua lelaki terbabit diambil untuk dianalisa.
"Kita akan tahu selepas keputusan diterima nanti," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pemandu kereta jenis Toyota Vios berusia 27 tahun itu dalam perjalanan dari arah Malim Nawar menghala ke pekan Kampar.
"Ketika tiba di tempat kejadian, pemandu terbabit terlanggar mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C70 dan sedang masuk ke simpang di sebelah kiri.
"Pelanggaran mengakibatkan mangsa cedera di bahagian kepala dan patah kaki sebelum disahkan maut di tempat kejadian," katanya.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat selain tiada tangkapan dibuat setakat ini dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!