Semak ujian saringan dengan KKM, elak jadi mangsa sindiket
PUTRAJAYA - Orang ramai boleh merujuk status ujian saringan wabak koronavirus (Covid-19) individu lain dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya timbul kekeliruan supaya tidak menjadi mangsa sindiket pemalsuan dokumen tersebut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana pihaknya mempunyai rekod mereka yang menjalankan ujian saringan tersebut.
Bagaimanapun menurutnya, keputusan ujian tersebut hanya terpakai dalam tempoh tersebut sahaja.
"Mereka yang disaring contohnya kalau kita lihat hanya pada masa tu didapati negatif tetapi mungkin esok lusa mereka terdedah lagi kepada komuniti dan kita tahu dalam komuniti ada virus itu dan mereka mungkin dijangkiti semula.
"Apa yang pasti, KKM ada rekod dalaman (mereka yang jalani saringan) menggunakan kaedah ini kalau kita menjalankan saringan lokaliti atau pun kumpulan sasar," katanya pada sidang media situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada KKM mempunyai cadangan untuk memperkenalkan identiti tertentu bagi mengenal pasti individu yang menjalani ujian saringan wabak itu.
Ia susulan kejayaan polis menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen ujian saringan Covid-19 semalam.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya tidak mengeluarkan gelang tangan atau surat tertentu kepada individu yang menjalani ujian tersebut.
"Surat hanya sah pada hari ujian itu dilaksanakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!