30 peratus kemudahan hospital untuk rawatan Covid-19
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetap mengkhususkan 30 peratus kemudahan di hospital termasuk katil dan kakitangan untuk rawatan wabak koronavirus (Covid-19) meskipun kes berkenaan menunjukkan penurunan ketara ketika ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi memastikan rawatan terbaik dapat diberikan kepada pesakit wabak tersebut.
"Jadi sekarang ini dengan penggunaan unit rawatan rapi (ICU) dan penggunaan katil Covid-19 (yang semakin berkurangan), sekurang-kurangnya kita akan tetapkan 30 peratus untuk kes Covid-19 walaupun kita tidak banyak gunakan katil tersebut.
"Kita akan mula menggunakan hospital kita dan sekarang ini kita telah mula menggunakan hospital-hospital daerah yang ada dewan bedah dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari.
Menurutnya, ketika ini, penggunaan wad di hospital khusus untuk rawatan Covid-19 kurang daripada 15 peratus.
Sehubungan itu katanya, KKM akan menambah jumlah bukan pesakit Covid-19 di hospital yang dikhususkan untuk rawatan pesakit wabak itu secara berperingkat.
"Jadi, kita akan mula dengan 30 peratus dahulu, kita (mungkin) meningkatkan dan lihat (perkara itu), begitu juga kakitangan kesihatan yang datang dari negeri-negeri lain ke Selangor dan Kuala Lumpur untuk berkhidmat (tangani Covid-19), mungkin sekarang ini kita sudah boleh kurangkan kakitangan tersebut.
"Kita juga akan lihat bagaimana kita hendak optimumkan hospital kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!