Casas harap MPFL 2021 bermula awal

Gerard Casas
Gerard Casas
A
A
A

KETUA Jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas mengharapkan saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) musim depan dapat dimulakan lebih awal selepas pembatalan saingan untuk musim ini.

Menurutnya, ia langkah perlu dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila keadaan pandemik Covid-19 sudah bertambah baik dalam beberapa bulan akan datang.

“Secara peribadi saya cukup terkilan dengan pembatalan saingan MPFL 2020, agak menyedihkan kerana kita sudah mempersiapkan sebuah pasukan yang ampuh dan cukup bersedia untuk memberi saingan.

“Lihat sahaja semangat yang mereka tunjukkan dalam aksi pertama menentang Sarawak, kita menang 9-1 walaupun perlawanan itu berlangsung tanpa penyokong.

“FAM perlu tahu ada kelab yang tetap meneruskan usaha besar mereka untuk mengejar matlamat dan mengangkat darjat futsal, Pahang Rangers satu daripadanya. Jadi FAM harus berbuat sesuatu,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Terdahulu, FAM mengumumkan pembatalan tiga pertandingan di bawah kelolaannya iaitu Piala Presiden, Piala Belia dan MPFL bagi tahun ini akibat Covid-19.

Casas berkata, dia memahami keadaan semasa yang tidak mengizinkan, dan menganggap keputusan FAM satu keputusan tepat memandangkan tiada kepastian sampai bila pandemik ini akan berakhir.

“Saya sekarang di Sepanyol kagum dengan usaha Malaysia menangani Covid-19. Tahniah diucapkan kepada kerajaan dan semua 'frontliners' atas usaha hebat ini dalam memberikan perlindungan kepada semua,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!