Pusat hiburan diserbu, 31 dikompaun RM1,000
PETALING JAYA - Seramai 31 individu di sebuah pusat hiburan sekitar Dataran 32 Square, Jalan 19/1, dikenakan kompaun RM1,000 seorang selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Nik Faisal berkata, menerusi serbuan sekitar jam 9.15 malam itu, polis 36 individu berusia lingkungan 20 hingga 58 tahun.
Beliau berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun ditahan kerana disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit kerja yang sah.
"Dua lelaki warga asing berusia 20 dan 29 tahun yang dipercayai bekerja di pusat hiburan berkenaan turut ditahan kerana didapati melanggar syarat visa lawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, dua lagi warga asing yang diperiksa dibebaskan dengan jaminan polis setelah semakan dokumentasi dilakukan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
"Semua warga asing yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Nik Ezanee berkata, polis turut menahan dua lelaki berusia 26 dan 35 tahun yang dipercayai memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol, semalam.
Katanya, polis Petaling Jaya akan meneruskan operasi ini bagi memastikan setiap pengguna lalu lintas mematuhi peraturan ditetapkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!