Putarkan semula lagu raya, kata netizen
SHAH ALAM - Netizen melahirkan rasa teruja, gembira dan bersyukur selepas mendengar pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos.
Pengumuman itu antaranya membenarkan perjalanan rentas negeri kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD.
Pengguna alam maya dikenali Noor Akmal Idris turut memohon stesen radio memutarkan lagu hari raya bagi mengembalikan suasana raya ketika pulang ke kampung setelah mendengar pengumuman mengenai kelonggaran rentas negeri.
"Ramai yang dah berkobar-kobar nak balik kampung beraya ni," katanya.
Rushqk pula mengakui sebak selepas mendengar pengumuman itu dan seronok apabila ramai yang terkandas boleh melakukan perjalanan rentas negeri selepas ini.
Melalui pengumuman tersebut, rata-rata netizen mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri termasuk Shukry Bodarudin yang turut menyifatkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri terbaik yang sentiasa mendengar keluhan rakyat, selain turut berterima kasih kepada petugas barisan hadapan dan pihak yang bertungkus-lumus menangani wabak koronavirus (Covid-19).
Bagaimanapun, ketika menulis di ruang komen akaun Facebook Sinar Harian, Shukry Bodarudin berharap rakyat Malaysia sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga vaksin virus tersebut ditemui.
Seorang lagi pelayar media sosial, Zana Yacob memberi reaksi positif terhadap pengumuman itu dan bersependapat dengan Shukry Bodarudin supaya orang ramai terus patuhi SOP ditetapkan.
"Ramai lagi yang susah kat luar sana sekarang dah lebih mudah. Alhamdulillah," katanya.
Sementara itu, tanda pagar #PKPP kini trending di Twitter sebaik netizen memberi maklum balas terhadap pengumuman Perdana Menteri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!