Caj gunting rambut perlu sejajar dengan kos tambahan
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengingatkan kadar baharu harga gunting rambut perlu sejajar dengan kos tambahan yang terpaksa ditanggung oleh pekedai.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kadar tersebut sepatutnya perlu melibatkan kos barangan yang terlibat dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan pencegahan koronavirus (Covid-19).
Alexander berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kenaikan caj pemotongan dan dandanan rambut antara RM5 hingga RM10 bagi setiap pelanggan yang disuarakan wakil Gabungan Pendandan Rambut Malaysia berikutan peningkatan kos operasi untuk menyediakan peralatan keperluan operator kedai gunting atau salun dandanan rambut bagi mematuhi SOP ditetapkan.
"Sekiranya proses menggunting rambut hanya melibatkan penggunaan pemakaian pelitup muka, apron pakai buang, sarung tangan baru dan cecair sanitasi tangan maka hanya kos barangan yang terlibat ini sahaja yang boleh dicaj kepada pelanggan selain daripada kos asal upah gunting.
“Contoh lain diandaikan barangan tambahan yang terlibat adalah apron plastik penutup badan pengguna berharga RM3, kos sarung tangan 50 sen dan cecair sanitasi tangan 30 sen, maka jumlah kos tambahan yang boleh dikenakan adalah sebanyak RM3.80 sahaja.
“Pengusaha kedai gunting rambut tidak boleh mengenakan caj tambahan sehingga RM10,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.*
Alexander turut menyarankan agar premis-premis gunting rambut dan kecantikan mempamerkan senarai harga setiap barangan tambahan serta caj servis pemotongan rambut bagi memudahkan pelanggan.
Dalam pada itu, orang ramai boleh membuat aduan kepada KPDNHEP terhadap mana-mana kedai gunting dan pendandan rambut serta salun kecantikan yang mengenakan caj berlebihan yang tidak munasabah.
Sementara itu, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu ini yang akan menyaksikan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula secara berperingkat termasuklah perkhidmatan kedai gunting rambut, pendandan rambut dan salon kecantikan.
Katanya, operasi perniagaan gunting dan pendandan rambut serta salon kecantikan juga masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!