Seri Paduka mudah tersentuh
KUANTAN - “Seri Paduka cukup prihatin dan mudah tersentuh dengan musibah menimpa rakyat jelata.
“Keperibadian Seri Paduka terbukti melalui pengalaman pahit yang saya lalui lebih tiga tahun lalu setelah kehilangan satu-satunya anak perempuan dalam tragedi lemas meragut tiga nyawa di kolam terbiar di tapak bekas lombong Bauksit di Taman Sungai Karang Jaya, Kuantan,” kata Mohd Shariff Awang Ngah, 53.
Anaknya, Nureen Ain Juwita yang ketika itu berusia 10 tahun terkorban bersama dua rakannya yang juga pasangan adik-beradik Salsabila Zulkhairi, 12, dan Mahathir Mohamad, 7, dalam tragedi yang berlaku pada 4 Februari 2017.
Mohd Shariff berkata, musibah menimpa dia dan keluarga dua beradik itu mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ketika itu Pemangku Raja Pahang dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menurutnya, selepas menerima sembah maklum kejadian menimpa anaknya, Seri Paduka berdua datang ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bertemunya dan memberi kata-kata semangat.
“Saya sendiri tidak sangka Seri Paduka berdua sanggup datang untuk bertemu kami walaupun ketika itu hari sudah malam.
“Seri Paduka berdua ketika itu jelas amat sedih seolah-olah memahami kesedihan yang kami hadapi setelah kehilangan anak tersayang dalam kejadian itu,” katanya.
Katanya, kehadiran Seri Paduka berdua sedikit sebanyak meredakan kesedihannya ketika itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!