Manusia makin ‘gila’
TAHUN 2020 istimewa kerana ia satu-satunya tahun yang mungkin anda lalui di mana dua digit pertama akan sepadan dengan dua digit kedua.
Bagaimanapun, baru menjelang pertengahan tahun, 2020 telah melakar beberapa peristiwa besar yang luar biasa dan secara tidak langsung menjadi salah satu tahun yang bakal mengubah sejarah dunia.
Mana tidaknya, kehadiran wabak koronavirus (Covid-19) sahaja telah merencatkan pembangunan ekonomi hampir di seluruh dunia.
Virus yang dikatakan berasal dari Wuhan, sebuah bandar di China itu bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia, malah negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Itali dan China sendiri, turut terjejas akibat wabak yang diisytiharkan pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu.
Cukup ngeri kalau dilihat jumlah kematian yang berpunca daripada wabak tersebut, bukan empat angka, bukan juga lima angka tetapi telah mencecah enam angka dari serata dunia.
Bagaimanapun, Malaysia merupakan antara negara yang pantas mengambil tindakan membendung wabak itu dengan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan rantaian penularan wabak jangkitan tersebut.
Namun, sejak kebelakangan ini, Malaysia ibarat dilanda ‘musim’ pemandu mabuk.
Yang menghairankan, bagaimana ‘musim’ ini boleh melanda negara ketika kita semua sedang sibuk berperang dengan musuh ghaib ini?
Bukankah Perdana Menteri sudah menyarankan kita agar duduk rumah diam-diam?
Dan yang paling menyedihkan apabila ego menguasai diri, kempen ‘do not drink and drive’ yang telah diwujudkan sekian lamanya dipandang enteng lalu menyebabkan ada anak yang kehilangan bapa, si isteri kehilangan suami dan ada juga yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata.
Jika dilihat, bukan sahaja isu pemandu mabuk, malah banyak lagi isu yang tidak berperikemanusiaan semakin berleluasa.
Baru-baru ini di media sosial, hashtag #BlackLivesMatter tular serta mendapat perhatian dunia sehingga mencetuskan ketegangan dan rusuhan di beberapa bandar besar di Amerika Syarikat.
Gerakan tersebut disuarakan masyarakat dunia sebagai tanda solidariti terhadap kematian seorang lelaki berkulit hitam, George Floyd, 46, yang mati akibat lehernya ditekan menggunakan lutut oleh seorang anggota polis di bandar Minneapolis pada 25 Mei lalu.
Insiden itu juga mencetuskan kegilaan segelintir penunjuk perasaan yang bertindak di luar kawalan.
Bagaimanapun, anggota pihak berkuasa tempatan tidak kurang ‘gila’nya. Gerakan tersebut dilihat seolah-olah sebagai satu ‘platform’ bagi mereka melampiaskan emosi kepada rakyat berkulit hitam di negara tersebut.
Malah gelandangan serta orang kurang upaya (OKU) turut menjadi mangsa apabila ‘rumah’ dan fasiliti turut musnah akibat gerakan itu.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pula digelar sebagai Presiden yang ‘paling berani’ kerana menjadi seorang pemimpin yang memilih untuk bersembunyi di kubu pertahanan bawah tanah di Rumah Putih ketika bakal pesaingnya dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020, iaitu bekas Naib Presiden, Joe Biden sanggup turun padang dan bertemu penunjuk perasaan.Kemarahan
Paling ‘gila’ apabila baru-baru ini tular mengenai satu kejadian di mana seekor gajah betina mati selepas memakan buah nanas yang mengandungi mercun di sebuah ladang di selatan India.
Lebih menyayat hati, haiwan tersebut sedang bunting dan bangkainya dijumpai dalam keadaan berdiri di sebuah sungai.
Kejadian pada 23 Mei lalu itu juga mengundang kemarahan orang ramai dalam media sosial selepas gambar bangkai haiwan tersebut dimuat naik oleh salah seorang pegawai perhutanan di negara itu.
Persoalannya, siapa yang harus dipersalahkan dalam kegilaan ini?
Adakah undang-undang yang perlu diperketatkan atau si pelaku yang gilakan kegilaan?
Yang bertanggungjawab cukuplah membisu, memusing palu tiada tuju.
Segerakanlah apa yang perlu, hentikan tangisan tidak berlagu.
Ayuh semua, tidak kira siapa pun anda, hentikan kegilaan ini dan jadikan hari ini lebih baik daripada semalam.
* Muhammad Hazwan Mokhtar ialah Pembantu Penerbit Sinar TV
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!