Perang lawan Covid-19 masih belum tamat

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

PERSOALAN sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan atau tidak, terjawab menerusi perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

PKPB yang akan berakhir pada 9 Jun 2020 akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP yang akan bermula pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020.

Dalam tempoh PKPP ini, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat namun dengan syarat perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP

Namun begitu, rakyat tidak boleh leka kerana pelaksanaan PKPP bukan bermaksud peperangan melawan koronavirus (Covid-19) sudah berjaya sepenuhnya.

Tindakan serta kawalan mesti diteruskan bagi memastikan penularan wabak ini dapat dibanteras. Apabila kerajaan memberikan kelonggaran, bermakna tanggungjawab untuk memastikan wabak Covid-19 kekal terkawal berada di tangan kita sendiri.

Dalam situasi kita sekarang, kita tidak boleh terlalu bergembira walaupun Malaysia telah berjaya membendung penularan Covid-19 dengan berkesan dan kini sedang memasuki fasa pemulihan.

Muhyiddin berharap agar rakyat terus berdisiplin dan istiqamah bagi mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk memastikan penularan wabak ini kekal terkawal, sekali gus membolehkan negara memasuki fasa normalisasi selepas 31 Ogos 2020 sehinggalah vaksin untuk virus Covid-19 ditemui.

Artikel Berkaitan:

Tanggungjawab membendung wabak maut itu bukan di atas bahu kerajaan semata-mata. Kerajaan tidak boleh selamanya mengawal rakyat. Sudah sampai masanya rakyat belajar menjaga diri daripada virus Covid-19.

Namun sekiranya orang ramai tidak mematuhi peraturan dan terdapat lonjakan kes Covid-19, tidak mustahil kerajaan akan kembali ke fasa PKP sebelumnya, malah mungkin lebih ketat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!