Enam hari tahan sakit dan lapar
BALI - Seorang lelaki terpaksa berlapar dan menahan kesakitan selama enam hari apabila terjatuh ke dalam sebuah perigi di Bali.
Menurut laporan CNA, Jacob Roberts, 29, dipercayai terjatuh ke dalam perigi sedalam empat meter berdekatan Petjatu selepas dikejar oleh anjing.
Difahamkan, jeritan Roberts yang meminta pertolongan didengar oleh seorang peladang yang berada di kawasan berhampiran sebelum bertindak membunyikan penggera kecemasan lewat petang semalam.
Ketua pasukan pencari dan penyelamat tempatan, Gede Darmada berkata, Roberts mengalami patah kaki selepas terjatuh ke dalam perigi yang hampir kosong itu.
Dalam pada itu, menurut Ketua Polis selatan Kuta, Yusak Agustinus Sooai, Roberts ditemui dalam keadaan badan yang kurus kerana tidak mempunyai makanan dan minuman.
"Roberts telah dibawa ke Hospital BIMC Nusa Dua untuk mendapatkan rawatan dan dia dijangka akan pulih sepenuhnya," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!