Penjawat awam antara ditahan tunggang motosikal ala 'Superman'
KUALA LUMPUR - Seorang penjawat awam antara tujuh lelaki yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 19 hingga 27 tahun termasuk kakitangan awam itu ditangkap kerana menunggang motosikal secara berbahaya dengan mempamerkan aksi ‘Superman’ dan bersaing sesama sendiri.
“Kita mendapati seorang lelaki berusia 24 tahun yang merupakan kakitangan awam melakukan aksi meniarap di atas motosikal (Superman) serta seorang lelaki berusia 19 tahun pernah ditahan sebelum ini di Dataran Merdeka kerana melakukan aksi ‘willie’,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Zulkefly berkata, seramai 12 anggota dari Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur terlibat dalam operasi yang bermula pada jam 12.30 tengah malam hingga 3 pagi.
“Tiga daripada individu yang ditahan itu tidak mempunyai lesen memandu. Motosikal yang dinaiki pula telah diubah suai untuk menambah kelajuan serta menggunakan tayar yang lebih kecil dan tidak memiliki cermin sisi,” katanya.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan itu telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!