100 hari: Keputusan tepat Muhyiddin selamatkan negara

Muhyiddin menunjukkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) ketika menyampaikan perutusan khas.
Muhyiddin menunjukkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) ketika menyampaikan perutusan khas.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Tindakan pantas menutup sempadan kepada negara lain serta melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tepat pada masanya merupakan faktor utama yang membantu Malaysia membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ini merupakan antara keputusan paling penting dan terpuji yang diambil Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Malaysia, Lau Zheng Zhou berkata, keseluruhan pengendalian krisis pandemik oleh Muhyiddin memberi impak terus kepada keadaan ekonomi negara.

“Berbanding negara-negara lain, ketepatan masa keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKP selain komunikasi awam yang sangat jelas dan tepat telah membantu kita meratakan lengkung Covid-19 lebih awal dan seterusnya dapat mengelakkan lebih banyak kematian.

“Ini sudah pastinya akan meletakkan kita di kedudukan kukuh untuk mencapai pemulihan,” katanya kepada Bernama semasa diminta mengulas mengenai pentadbiran 100 hari Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 1 Mac, 2020.

Zheng Zhou berkata, krisis ini memberi peluang bagi kerajaan untuk melakukan pembaharuan struktur kepada ekonomi, terutamanya dalam bahagian seperti pergantungan kepada pekerja asing, kehadiran besar syarikat berkaitan kerajaan dalam sektor swasta dan juga penyertaan pekerja wanita yang agak rendah.

Bagaimanapun, jika pembaharuan struktur dianggap menelan kos untuk dilaksanakan sebelum PKP, bayangkan betapa sukarnya untuk melaksanakannya sekarang meskipun mempunyai modal dan sumber lain, katanya.

Artikel Berkaitan:

Fasa pemulihan ekonomi seterusnya akan menjadi ujian lebih besar kepada pentadbiran Muhyiddin, ujarnya.

“Pelaburan dan perdagangan telah pun lemah malahan sebelum PKP dan kemerosotan permintaan global hari ini mengehadkan lagi pilihan dasar kerajaan.

“Kerajaan juga akan berdepan dengan pilihan antara memilih langkah-langkah dasar jangka pendek bagi mengurangkan kadar pengangguran yang boleh membawa kesan politik yang penting dan pelaburan jangka panjang dalam prasarana digital dan hijau sebagai kaedah untuk membina daya tahan ekonomi,” jelasnya.

Kerajaan setakat ini telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM260 bilion diikuti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara bernilai (Penjana) bernilai RM35 bilion.

Zheng Zhou berharap perdana menteri akan menjadikan krisis pandemik ini sebagai peluang untuk memasukkan perubahan iklim dan langkah-langkah kemampanan dalam penggubalan dasar ekonomi, atau meratakan lengkung iklim seperti yang disarankan oleh pelbagai organisasi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Virus Covid-19 tersebar melangkaui sempadan negara dan terbukti memberi risiko kepada golongan lemah dan miskin dan ini kemungkinan berlaku bagi pelepasan gas rumah hijau.

“Gangguan kepada jaminan makanan, rantaian perdagangan dan bekalan juga akan berlaku sekiranya berlaku krisis berkaitan iklim yang memerlukan usaha bersama negara-negara dalam menanganinya.

“Harapnya, Muhyiddin akan membangunkan dasar yang melibatkan pengurusan krisis ekonomi, seelok-eloknya mengeluarkan kertas putih, dan menginstitusikan mekanisme agar ekonomi kita boleh lebih berdaya tahan pada masa hadapan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!