Muhammad Bossku hadiah hari lahir kami

Dean ketika menimang cahaya mata kedua pada 12 Januari lalu. Gambar kanan: Hantaran di Facebook Dean Ahmad Jumaat lalu yang memuat naik gambar sijil kelahiran anaknya yang diberi nama Muhammad Bossku. - Foto Facebook Dean Ahmad
Dean ketika menimang cahaya mata kedua pada 12 Januari lalu. Gambar kanan: Hantaran di Facebook Dean Ahmad Jumaat lalu yang memuat naik gambar sijil kelahiran anaknya yang diberi nama Muhammad Bossku. - Foto Facebook Dean Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Baru-baru ini kecoh apabila sijil kelahiran seorang bayi lelaki yang diberi nama 'Muhammad Bossku' tular di media sosial.

Gambar sijil pendaftaran itu dimuat naik Dean Ahmad di Facebook miliknya Jumaat lalu, dengan keterangan gambar; "Wife (isteri) aku marah letak nama ni... apa masalahnya?"

Hantaran itu menerima kecaman netizen yang menganggap tindakan tersebut sebagai mempersendakan nama seorang anak dan ada juga yang meneka gambar tersebut disunting semata-mata.

Sementara itu, Dean yang juga selebriti media sosial ketika menjelaskan perkara itu berkata, dia memuat naik gambar berkenaan di laman sosial selepas memperoleh sijil kelahiran anak keduanya yang lahir 12 Januari lalu.

Sebelum ini, dia telah mencadangkan nama Muhammad Bossku kepada isterinya untuk bayi lelaki mereka, namun ia dibantah.

"Selalunya memang saya yang berikan nama anak, sama seperti anak pertama dulu.

"Masa itu di sana dan sini orang sebut 'Bossku' sebab tengah jadi trend. Jadi saya cadangkan nama Muhammad Bossku pada isteri. Isteri marah dan kata jangan mengada-ngada letak nama itu sebab dia malu ramai orang mula permainkan panggilan tu. Saya cakap pada dia; 'Nak malu apa isteriku? Kan nama tu sedap dipanggil'," katanya kepada Sinar Harian.

Dean mengakui dia sendiri tidak sukakan nama itu pada awalnya dan hanya sekadar mengusik isterinya.

Artikel Berkaitan:

Selepas seminggu anak keduanya dilahirkan, Dean akhirnya memilih nama Umar Al-Faqeh ketika membuat pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kelmarin.

"Saya memang suka berjenaka dan bergurau. Isteri pun tahu perangai saya.

“Lepas dapat sijil kelahiran anak di JPN, saya cepat-cepat edit bahagian nama dan hantar gambar kat isteri menerusi WhatsApp. Dia bising suruh cepat balik. Sampai kat rumah, isteri hanya tahu ia betul-betul sekadar ‘prank’ (guruan) bila keluarkan sijil tu daripada sampul. Dia rasa lega sangat bila tengok nama anak kami bukan Muhammad Bossku,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berniat langsung untuk mempersendakan anaknya gara-gara mahu menamakan Muhammad Bossku, sebaliknya Dean menganggap kelahiran bayinya itu sebagai hadiah hari lahirnya bersama isteri.

"Kebetulan 12 Januari itu adalah hari lahir saya dan isteri saya juga lahir pada bulan sama, iaitu 10 Januari. Jadi kami anggap bayi ini sebagai hadiah hari jadi kami," katanya.

Perkataan 'Bossku' menjadi trend di laman sosial selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan ayat 'Malu apa Bossku' sehingga menjadi ikutan ramai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!