Agong bakar semangat bintang bola sepak negara

Al-Sultan Abdullah (tengah) turut sama menemani Akmal Rizal dan Juzaili di Perancis pada tahun 2000.
Al-Sultan Abdullah (tengah) turut sama menemani Akmal Rizal dan Juzaili di Perancis pada tahun 2000.
A
A
A

SIAPA sangka poster penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pernah menjadi satu ‘isu’ cukup sensasi dalam bilik persalinan kelab Ligue 1 Perancis, RC Strasbourg.

Itulah yang berlaku kepada penulis bersama mantan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang semasa itu menjadi Tengku Mahkota Pahang menemani dua prospek terhangat negara - Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Muhamad Juzaili Samion pada tahun 2000.

Biarpun kenangan itu telah berlalu kira-kira 20 tahun lalu, ia masih segar dalam ingatan penulis yang telah mendapat mendapat penghormatan daripada Al-Sultan Abdullah mengikuti rombongan ke bumi Perancis itu.

Penulis masih mengingati sepanjang perjalanan tersebut, Al-Sultan Abdullah sentiasa mengatakan baginda sentiasa menginginkan kelibat pemain kelahiran Malaysia bermain di luar negara khususnya Eropah.

Titah baginda ketika itu, menjadi satu kebanggaan buat baginda secara peribadi sebagai peminat bola sepak untuk menyaksikan Akmal dan Juzaili yang menggalas nama negara bermain di Ligue 1.

Justeru, komitmen Sultan berjiwa rakyat seperti Al-Sultan Abdullah bukan lagi menjadi pertikaian apabila baginda menjaga rapi kebajikan Akmal dan Juzaili lebih daripada 100 peratus sepanjang kedua-dua pemain tempatan itu menyarungkan jersi RC Strasbourg.

Kata pepatah, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi, jiwa bola sepak baginda sama seperti Almarhum Sultan Ahmad Shah yang ketika itu menjadi Presiden FAM yang sentiasa berusaha keras mengangkat nilai komersial pemain tempatan ke luar negara.

Al-Sultan Abdullah selalu menjadikan menjadi Alharhum Sultan Ahmad Shah yang terkenal sebagai pemimpin berkualiti sebagai idola baginda yang sentiasa menasihatkan baginda supaya mengambil jawatan haruslah tanam sifat ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Kecintaan Al-Sultan Abdullah terhadap Alharhum Sultan Ahmad Shah tidak perlu disangkal lagi apabila ramai menyedari sisi ketokohan Al-Sultan Abdullah tak tumpah seperti ayahanda tercinta baginda.

Artikel Berkaitan:

Laporan media tempatan berkaitan Akmal Rizal ketika 'berguru' bersama kelab RC Strasbourg.
Laporan media tempatan berkaitan Akmal Rizal ketika 'berguru' bersama kelab RC Strasbourg.

Kesimpulannya, perbualan serius khusus bola sepak bermain sepanjang perjalanan penulis dan Al-Sultan Abdullah sampailah kami dibawa ke hostel RC Strasbourg untuk melihat apa yang sedang dilakukan dua pemain tersebut.

Ketika itu penulis masih mengingati pengurus merangkap jurulatih RC Strasbourg adalah bekas jurulatih kebangsaan negara, Claude Le Roy yang sentiasa memudahkan rombongan kami sepanjang berada di Eropah.

Bagaimanapun, tiada kelibat kedua pemain itu di bilik mereka di mana ketika itu Akmal dan Juzaili sedang mengikuti kelas bahasa Perancis di bilik berasingan dan kami tidak mahu mengganggu mereka dengan mengambil keputusan untuk menunggu sahaja di bilik persalinan.

Secara tidak sengaja, Al-Sultan Abdullah ternampak locker milik Akmal sedikit terbuka dan baginda mahu menutupnya kembali.

Tatkala Al-Sultan Abdullah mahu menutup pintu kecil locker milik Akmal, baginda sudah ketawa terbahak-bahak sekali gus menimbulkan keraguan dalam kalangan kami sendiri.

“Saya sangkakan poster Eric Cantona, Pele atau (Diego) Maradona, rupanya poster Siti Nurhaliza jadi pembakar semangat Akmal di sini (RC Strasbourg) ye,” seloroh baginda.

Aksi Akmal Rizal ketika menyarung jersi Malaysia pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.
Aksi Akmal Rizal ketika menyarung jersi Malaysia pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.

Sebaik mendengar jenaka baginda, bergegarlah bilik hostel RC Strasbourg dengan hilaian ketawa sambil penulis menerangkan siapakah figura bernama Siti Nurhaliza kepada pegawai kelab Perancis bagaikan tergamam dan tidak tahu yang berlaku yang menemani rombongan Malaysia ketika itu.

Jadi nadi kekuatan ke Perancis

Biarpun Akmal sekadar setahun bermain bersama RC Strasbourg bermula 1999 dan dipinjamkan FCSR Haguenau sebelum kembali pulang ke pangkuan Kedah pada 2002, bekas penyerang kebangsaan itu mengakui beliau cukup terhutang budi dengan jasa Al-Sultan Abdullah.

Lebih tepat, Akmal yang kini bertugas sebagai penolong jurulatih Pulau Pinang berkata, kesungguhan Al-Sultan Abdullah memujuknya berhijrah ke bumi Perancis telah membuka hatinya untuk bermain di Eropah.

Jelas Akmal, penghijrahan pemain ketika itu tidak semudah seperti zaman sekarang selaras peredaran teknologi di mana pada awalnya beliau mendedahkan tidak berminat untuk menyertai RC Strasbourg disebabkan masalah seperti komunikasi, pemakanan, budaya dan sebagainya.

“Ketika itu cukup sukar buat pemain negara untuk membuat keputusan bermain di luar negara dan ianya tidak semudah seperti sekarang.

“Sudah pasti saya itu masih muda dan berada dalam dilema. Di fikiran saya, bagaimana pemain muda seperti saya untuk menyesuaikan diri yang sememangnya tiada pengetahuan langsung terutama kehidupan di Perancis.

“Namun keyakinan itu hadir apabila Al-Sultan Abdullah telah menjemput ibubapa saya, Allahyarham Ahmad Rakhli Hassan dan Mariam Hashim ke Kuantan, Pahang dengan menjelaskan perancangan baginda kepada ibubapa saya tujuan saya dihantar ke Perancis.

“Keseriusan baginda untuk membawa saya bermain bersama RC Strasbourg itu jelas membuka pintu hati saya dan saya masih ingat titah baginda, ‘Awak ke Perancis bukan sahaja untuk pengalaman sendiri tetapi juga membawa nama negara Malaysia. Jadilah sejarah itu’.

“Kesungguhan, keprihatinan dan keseriusan baginda telah berjaya meyakinkan saya dan akhirnya saya secara peribadi berpendapat keputusan menyertai RC Strasbourg adalah kenangan manis dalam karier saya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Apa yang pasti, kecintaan Al-Sultan Abdullah terhadap bola sepak tidak pernah luntur di dalam hati baginda yang sentiasa mengikuti perkembangan rapat sukan tersohor ini.

Penulis juga ingin mengambil kesempatan mohon perkenan Al-Sultan Abdullah yang sentiasa menawarkan peluang kepada penulis dan tanpa disangkal lagi hakikinya baginda adalah penyokong nombor satu sukan negara khususnya bola sepak.

Dalam masa yang sama, penulis juga tidak mahu terlepas peluang untuk Merafak Sembah dan Setinggi-Tinggi Ucapan Tahniah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 8 Jun 2020.

Semoga Allah SWT melimpahkan segala kurniaNya dan RahmatNya serta dipanjangkan usia ke atas tuanku.

Ampun Tuanku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!