Mekanik antara ditahan memandu mabuk

Salah seorang pemandu yang melakukan ujian pernafasan alkohol.
Salah seorang pemandu yang melakukan ujian pernafasan alkohol.
A
A
A

NILAI - Seorang mekanik antara dua yang ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Mabuk di Jalan Persiaran Korporat, dekat sini semalam.

Operasi dilakukan oleh seorang pegawai bersama lima anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Nilai (BSPTD) pada jam 8.30 hingga 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Noor Marzukee Besar berkata, dalam operasi itu, pihaknya telah membuat pemeriksaan dan melakukan ujian pernafasan terhadap dua penunggang motosikal tersebut yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Pemeriksaan dijalankan terhadap dua penunggang motosikal berusia 29 dan 39 tahun yang dalam keadaan mencurigakan dan ujian nafas menggunakan alat SD2+ ke atas pemandu tersebut menunjukkan mereka memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol.

"Hasil ujian nafas yang telah dijalankan mendapati bacaan alkohol dalam nafas melebihi kadar yang dibenarkan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-duanya kemudian dibawa ke Balai Trafik Nilai untuk pemeriksaan lanjut termasuk ujian pernafasan kedua menggunakan alat Evidential Breath Analyzer (EBA) bagi mengesahkan kandungan alkohol dalam badan.

Katanya, hasil ujian tersebut mendapati bacaan alkohol mencatatkan 187mg dan 402mg/100ml iaitu melebihi daripada paras ditetapkan.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 45A(1) APJ 1987 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam operasi tersebut juga, pihaknya turut mengeluarkan sembilan saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, gagal menunjukkan lesen dan lain-lain.

Katanya, operasi berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan semua tangkapan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!