PKP bukan halangan, belajar mengaji tetap 'on'

Setiap pelajar belajar mengaji antara 10 hingga 15 minit.
Setiap pelajar belajar mengaji antara 10 hingga 15 minit.
A
A
A

REMBAU - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang Pusat Pengajian Taman Al-Quran, di sini untuk meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran al-Quran secara dalam talian dengan menyasarkan penyertaan seramai 1,600 pelajar di seluruh negeri ini.

Pengurusnya, Muhamad Alif Ibrahim berkata, buat masa ini, seramai 250 pelajar terlibat dalam program berkenaan yang mendapat kerjasama Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (Tabah) itu.

Menurutnya, sejak tiga minggu lalu, seramai 10 guru bertanggungjawab mengajar mengaji secara dalam talian kepada pelajar-pelajar berusia antara empat hingga 17 tahun menerusi panggilan video di aplikasi WhatsApp atau panggilan telefon bagi memastikan anak-anak tidak terus ketinggalan dalam pembelajaran al-Quran sepanjang tempoh PKP.

“Guru-guru kami bukan sahaja terdiri daripada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) tapi juga pelajar lepasan sekolah agama atau yang mempunyai kemahiran mengaji al-Quran.

“Guru-guru ini kita akan beri ‘token’ dan seramai 30 orang lagi telah bersedia pada bila-bila masa untuk mengajar keseluruhan pelajar yang kita sasarkan seramai 1,600 orang,” katanya kepada Sinar Harian sambil memberitahu kelas mengaji berkenaan adalah percuma dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Guru menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran al-Quran secara dalam talian.
Guru menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran al-Quran secara dalam talian.

Mengulas lanjut katanya, setiap guru diperuntukkan seramai 25 pelajar dan perlu mengendalikan kelas maya itu selama 10 ke 15 minit bermula jam 9 pagi hingga 4.30 petang.

Katanya, pelajar-pelajar pula akan diberi jadual kelas seminggu awal bagi memastikan mereka bersedia.

Artikel Berkaitan:

Selain di Rembau, kata Muhamad Alif, pihaknya turut menerima penyertaan pelajar dari Kuala Pilah, Port Dickson, Gemencheh dan bakal menyusul di Seremban.

"Saya minta kepada ibu bapa, jangan biarkan anak-anak tinggalkan al-Quran sepanjang PKP ini.

"Kalau tiada masa untuk semak bacaan mereka, boleh serahkan pada kami.

"Pelaksanaan PKP yang telah hampir empat bulan ini dikhuatiri menyebabkan anak-anak kita yang selama ini jadi rutin mereka ke kelas KAFA lupa dengan al-Quran," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!