Pengusaha bas ekspres di Kelantan ikrar tidak naik tambang

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Pengusaha bas ekspres di Kelantan berikrar tidak akan menaikkan tambang walaupun perlu mengurangkan jumlah penumpang kepada separuh bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial untuk membendung penularan koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail berkata, pematuhan terhadap SOP amat penting bagi memastikan keselamatan penumpang dan masyarakat.

"Walaupun berlaku pengurangan separuh kapasiti penumpang, namun kami tidak menaikkan harga tiket atau mengenakan surcaj selaras peraturan ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Che Ibrahim yang juga presiden Persatuan Pengusaha Bas Kelantan (PPBK) berkata E-Mutiara akan mula beroperasi semula ke semua destinasi utama di seluruh negara secara berperingkat bermula 10 Jun ini berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan PKPP akan menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos yang membolehkan perjalanan rentas negeri dilakukan kecuali di kawasan yang diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!