Baju T hadiah terakhir kepada menantu

Rusilah menunjukkan hadiah baju T dihadiahkan suami kepada menantunya empat hari sebelum terbabit dalam kemalangan kelmarin.
Rusilah menunjukkan hadiah baju T dihadiahkan suami kepada menantunya empat hari sebelum terbabit dalam kemalangan kelmarin.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang pekebun sempat memberikan hadiah baju T kepada menantunya, empat hari sebelum dia meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Parit 9 di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu Mohd Azman Bukhari, 56, meninggal dunia di tempat kejadian.

Isterinya, Rusilah Ramli, 53, berkata, Allahyarham suaminya itu kelihatan teruja meraikan ulang tahun kelahiran menantu mereka, Muhammad Hanafi Marzuki, 29, pada 2 Jun lalu.

"Dalam majlis itu arwah nampak ceria dan dia sendiri menempah makanan selain merakam gambar kenangan kami sekeluarga," katanya kepada Sinar Harian.

Rusilah yang menetap di Parit 11 Gambut berkata, kali terakhir dia bertemu Allahyarham sebelum suaminya itu bertemu seorang rakannya di Parit 5.

"Sebelum kejadian saya nampak arwah yang baharu selesai solat Subuh sedikit berbeza berbanding sebelumnya. Saya hairan sebab arwah banyak termenung dan banyak mendiamkan diri, cuma dia ada maklumkan hendak ke rumah rakannya sebab ada urusan kerja," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun dia tidak dapat menahan kesedihan sejam selepas itu apabila seorang rakan anaknya bertandang ke rumah memaklumkan arwah terlibat kemalangan.

"Jiwa saya tersentak apabila rakan anak memberitahu arwah kemalangan hingga mengakibatkan kecederaan teruk pada bahagian kepala. Saya kemudian bersama tiga lagi anak terus ke lokasi kemalangan dan terkejut apabila mendapati arwah tidak lagi bernyawa.

Artikel Berkaitan:

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ALLAH lebih menyayanginya," katanya.

Menurutnya, arwah suaminya itu disifatkan seorang lelaki bertanggungjawab dan mengambil berat soal kehidupan empat anak-anak mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 31 tahun.

"Arwah mempunyai ramai kawan dan dia juga tidak lokek, malah pada setiap tahun arwah memberi sumbangan kurma di masjid berhampiran," katanya.

Tambah wanita itu, jenazah arwah suaminya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Terap pada jam 6 petang hari kejadian.

Sinar Harian semalam melaporkan, seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah motosikal lain di Jalan Parit 9 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, mangsa menunggang motosikal Yamaha Y15 bersendirian dari dari arah Parit 5 menuju ke rumahnya di Parit 11.

"Penunggang motosikal Yamaha Lagenda berusia 40 tahun dan anaknya berusia enam tahun pula masing-masing cedera ringan dalam perjalanan dari rumah mereka di Parit 8 Timur ke stesen minyak di Parit 13 Sungai Panjang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Lelaki maut kemalangan motosikal

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!